RSS

Saturday, November 7, 2009

Kerja Kursus BMK PPISMP Sem.3 (Teks Pidato)

Menurut kajian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ke atas 1560 buah sekolah menengah harian pada tahun 2005, mendapati bahawa sejumlah 459 daripadanya terdedah kepada budaya dan pengaruh gengsterisme. Itu kajian empat tahun dahulu, bagaimana pula sekarang? Semakin berkurang atau sebaliknya? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Sekalung apresiasi buat saudara pemudah agenda, barisan respektatif kehakiman yang arif lagi bijaksana, seterusnya hadirin warga dewan berkarisma pencetus evolusi minda. Assalamulaikum dan salam satu Malaysia.
Sidang warga dewan penuh wawasan penjana modal insan,
Amat mengejutkan apabila kita didedahkan dengan maklumat yang dilaporkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang menyebut kira-kira 10, 000 individu dikesan terbabit dengan kegiatan gengsterisme di Selangor. Gengterisme menurut Kamus Dewan edisi keempat halaman 458 bermaksud kegiatan gengster ataupun masalah gejala samseng. Menurut Dr. Amir Mohd. Salleh (1999) mengatakan bahawa, “Gengsterisme di sekolah bermaksud kewujudan kumpulan gengster yang melibatkan para pelajar sekolah harian sebagai ahlinya sama ada sebagai ahli aktif atau penyokong sesuatu kumpulan dalam melakukan salah laku dan pelanggaran disiplin dan undang-undang.” Menurut sumber Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Oktober 1999, mengatakan terdapat 13 jenis salah laku jenayah yang sering dikaitkan dengan gejala gengsterisme mengikut respon Pengetua dan Guru antaranya ialah melawan guru, peras ugut, buli, salah guna dadah, membawa senjata, mencabul kehormatan, mengancam murid dan guru dan sebagainya. Maka pada hari ini saya terpanggil untuk berkongsi idea bersama anda semua, warga pendengar yang setia mengenai “usaha-usaha membendung gejala gengterisme di sekolah”.

Sidang warga dewan pembina jati diri bangsa,
Tindakan sekumpulan pelajar membakar bilik guru disiplin Sekolah Menengah Seksyen 19, Shah Alam pada awal Jun 2000 membuktikan betapa kegiatan gengsterisme di kalangan pelajar sekolah sudah sampai ke peringkat yang cukup serius. Malah adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa perbuatan membakar sekolah termasuk percubaan membakar rumah seorang guru di Kota Tinggi, Johor pada 21 Mei 2000 merupakan kegiatan gengsterisme yang melampau yang melibatkan pelajar sekolah. Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) turut memaparkan bahawa pembabitan pelajar dalam kes jenayah cukup merisaukan iaitu sebanyak 1, 996 pelajar ditahan kerana terlibat dalam 881 kes jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2003, ianya bukan sejumlah angka yang kecil. Maka, dalam usaha membendung gejala kronik ini saya bawakan kepada anda empat indikator penting untuk dibicarakan. Lapang-lapangkan minda dan hanyatilah kupasan idea kurniaan Yang Maha Pencipta.
Gagasan idea saya yang pertama, bernaung di bawah lembayung kata kunci “kembalikan hak merotan demi kemaslahatan bersama”. Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Lembaga Disiplin Kementerian Pelajaran pada tanggal 17 Mac 2009 telah memutuskan untuk menguatkuasa kembali Peraturan-peraturan Disiplin Sekolah 1959, khususnya hukuman tradisi yang sering digunakan nenek moyang kita pada era dahulu untuk mendisiplinkan anak-anak iaitu hukuman rotan. Dalam melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar, Kementerian Pelajaran perlu memastikan ada panel yang menentukan syarat-syarat dan kaedah dalam merotan pelajar. Dalam erti kata lain hukuman rotan ini tidak dicemari dengan unsur marah dan dendam. Lebih baik sekiranya hukuman merotan mengikut syarat-syarat yang digariskan dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Janganlah kamu memukul di bahagian muka”. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan perbuatan Rasulullah s.a.w. ketika baginda memerintahkan orang ramai merejam Al-Ghamdiyah. Baginda mengambil batu-batu kecil sebesar batu kerikil dan merejamnya lalu baginda bersabda yang bermaksud, “Rejamlah dia dan elakkan daripada merejam bahagian mukanya”.
Selain itu, Islam juga mencegah daripada memukul di bahagian kepala, perut dan dada. Sesungguhnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan dalam Islam juga memberikan perhatian serius ke atas maudu’ hukuman sama ada hukuman yang berbentuk ‘maknawi’ yakni memberi nasihat dan menegur ataupun yang ‘maddi’ yakni hukuman sebat atau rotan. Hukuman merotan sememangnya perlu kerana terbukti pendekatan seperti nasihat dan sesi kaunseling masih tidak mampu menginsafkan pelajar tegar atau sering dipanggil “tidak makan saman” ini. Halangan utama yang menyukarkan pelaksanaan hukuman rotan ini tidak lain dan tidak bukan ialah golongan ibu bapa yang terlalu menyanyangi anak mereka. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa hukuman merotan ini bukan sekadar menghukum tetapi bermatlamat untuk mendidik dan mendisiplinkan para pelajar. Mereka harus meletakkan kepercayaan yang luhur kepada pihak sekolah untuk melaksanakan hukuman rotan ini sekiranya anak mereka melakukan pelanggaran disiplin seperti kegiatan gengsterisme ini. Hayatilah kata-kata Abraham Lincoln iaitu “Believing everybody is dangerous; believing nobody is very dangerous…”.

Sidang warga dewan yang bermisi lagi bervisi,
Menurut fakta terkini yang dipaparkan dalam akhbar Harian Metro pada 18 Jun 2009 menyatakan, 81 peratus terbabit gengsterisme disebabkan faktor keluarga. Maka gagasan idea saya yang kedua, berpaksikan idea “keluarga pembentuk akhlak mulia”. Mutakhir ini, gejala gengsterisme bukan lagi hanya melibatkan pelajar lelaki malah pelajar perempuan juga tegar menyepak dan memukul gurunya sendiri. Buktinya apabila laporan Akhbar Berita Harian pada tanggal 17 Oktober 2008 memaparkan betapa biadapnya pelajar perempuan di salah sebuah sekolah di Kangar tanpa rasa hormat dan taat tegar menendang gurunya. Hasil kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun iaitu 673 kes pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes pada 2005.

Hakikatnya, pendidikan bermula daripada rumah dan ibu bapa perlu bijak memainkan peranan utama dalam mencorakkan perkembangan anak-anak mereka. Bak kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fazilah Kamsah, “Segala-galanya bermula dari rumah”. Dari segi pembentukan sahsiah, ibu bapa adalah ‘role model’ yang terdekat dan terbaik untuk dicontohi anak-anak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, ibu bapa perlu mencerminkan peribadi yang mulia dan penuh hikmah agar menjadi teladan kepada anak-anak. Perlu diingatkan, mentarbiah anak-anak ibarat sebuah binaan rumah. Tanpa bahan dan elemen asas pembinaan yang baik dan berkualiti, rumah tidak lengkap atau mungkin juga tidak utuh. Maka didikan moral dan agama perlu disemai dalam kehidupan seharian mereka. Keimanan yang mantap dan kuat akan mencegah diri seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar sekali gus menghindari mereka dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti kumpulan samseng dan gengster di sekolah atau di mana-mana sahaja. Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Bahawa sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar” (Al-Ankabut: 45) adalah merupakan manifestasi didikan dan bimbingan yang mantap dari rumah. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, anak-anak perlu diasuh tegas sedari kecil. Istilah “bagai menatang minyak yang penuh” jangan disalah tafsir sehingga anak-anak terlalu dimanjakan. Kebebasan bukan cara menyatakan kasih-sayang malah adakala mengundang petaka.

Sidang warga dewan berilmu,
Pepatah Parsi ada menyebut ‘berfikir adalah sesuatu yang bijak, merancang adalah lebih bijak tetapi melakukan yang terbaik adalah yang paling bijak’. Maka, ayuh dengarkan idealogi saya yang ketiga, “muafakat membawa berkat”. Dalam usaha membendung gejala gengsterisme ini, kerjasama secara bersepadu dan holistik oleh ibu bapa, guru dan masyarakat seharusnya berterusan, bukan bermusim. Salah satu caranya ialah Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah dimantap dan diperkukuhkan. PIBG ditubuhkan selaras dengan Surat Pekeliling P.U (A) 146/1973. Objektif penubuhannya adalah sama-sama membantu kecemerlangan pelajar dan juga menjadi medium diskusi menyelesaikan masalah disiplin pelajar. Islam meletakkan elemen kerjasama dan muafakat dalam apa jua tindakan. Maka, konsep ini perlu ditekankan dan diperluas sehinggalah kepada kepimpinan nasional. Al-quran ada menyebut di dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud, “Bermusyawarahlah kamu dengan masyarakat dalam urusan itu”. Maka, PIBG harus bergerak aktif dalam merencana pelan tindakan yang lebih efektif dan agresif dalam membendung gejala gengsterisme ini.

Bukan lagi satu rahsia seperti yang diperkatakan oleh mantan Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Musa Muhammad bahawa ada guru besar atau pengetua yang enggan membuat laporan polis sekiranya berlaku kegiatan gengsterisme di sekolah atas sebab ingin menjaga nama baik dan kewibawaan pentadbiran. Maka peranan Yang Dipertua PIBG adalah utama supaya mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa. Koordinasi kerjasama yang erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat mampu membendung gejala gengsterisme yang semakin parah. Sandainya ianya dapat direalitikan, maka kes seperti kematian pelajar tingkatan empat SMK Sungai Besi, Mohd. Hadzrin Mohamad, kes kematian Muhammad Farid Ibrahim dari SMA Dato’ Klana Petra Maamor, Ampang dan kes buli sampai parah ke atas seorang pelajar SM Teknik Arau, Mohd. Firdaus Abd. Rahim mungkin takkan berulang buat sekian kalinya.

Sidang warga dewan berkarisma,
Kita juga pernah digemparkan dengan kes kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun membunuh rakannya. Juga kes di Selangor di mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipaksa menjadi pelacur dan dibawa ke Kedah untuk melakukan hubungan seks secara beramai-ramai. Tak tercapai akal tindakan mereka dan satu persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya, dari manakah munculnya inspirasi ekstrem ini?
Maka, cetusan idea saya yang keempat bertahtakan mauduk bicara “peranan media massa membendung gejala gengsterisme”. Masyarakat sedia maklum, sesungguhnya media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak memberi pengaruh besar kepada perkembangan personaliti dan mentaliti anak-anak era globalisasi kini. Justeru, pihak media seharusnya bijak dalam memainkan peranannya untuk membantu secara tidak langsung usaha-usaha kerajaan dan pihak sekolah dalam membendung gejala gengsterisme yang dilihat bagai barah yang semakin membiak secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah. Pihak media juga perlu menggunakan daya tarikan yang ada padanya dalam menyemai dan menyerap budaya positif kepada pelajar dan bukannya asyik memaparkan filem, drama atau iklan yang berbaur keganasan, perasaan dendam, kezaliman, keghairahan dan sebagainya yang membawa kesan negatif kepada perkembangan diri pelajar baik secara interpersonal mahupun intrapersonal.
Menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Jun 2009, mengatakan aksi-aksi ganas sudah menjadi santapan harian golongan muda dan kanak-kanak sama ada dalam filem malah siri kartun yang menjadi kegemaran kanak-kanak pun turut menyelitkan aksi ganas. Pihak media perlu mempunyai tanggungjawab sosial. Jika pihak kerajaan begitu bersungguh-sungguh memerangi gejala ini tetapi media masih ghairah memaparkan tayangan-tayangan yang menjerumus kepada tindakan liar pelajar demi mencapai keuntungan semata-mata, maka sia-sia sahajalah usaha gigih kerajaan dan mereka yang berperikemanusiaan untuk melahirkan masyarakat yang bermoral dan beretika selaras dengan cabaran Wawasan 2020. Mantan Timbalan Perdana Menteri China, Li Lanqing dalam bukunya “Education for 1.3 Billion” ada mengatakan bahawa, ”cabaran guru dalam membentuk akhlak pelajar bukan sekadar berhadapan dengan pengaruh persekitaran, malah media massa turut mempunyai ‘aura’nya yang tersendiri ke arah pembentukan personaliti pelajar”. (Lanqing, 2005)

Sidang hadirin berminda kelas pertama,
Konklusinya, berdasarkan empat indikator yang telah saya bicarakan, maka ayuh kita sama-sama berganding bahu membendung gejala gengsterisme yang tidak membawa untung kepada kita semua dalam mengangkat martabat bangsa dan negara tercinta. Usah kita biarkan najis gengsterisme ini terus mengotorkan sistem pendidikan negara yang kini sedang memacu ke arah mencapai sistem pendidikan bertaraf antarabangsa. Saya tinggalkan anda dengan wasiat yang ditinggalkan Raja-raja Melayu semasa merdeka pada 31 Ogos 1957, “Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami supaya bersatu padu dan berpegang teguh kepada kesetiaan, selama mana mereka patuh, selama itulah akan damai dan sejahtera”.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum w.k.t.h.








RUJUKAN
Buku/ Majalah
Saharom Abd. Aziz, et. al., (2009). e@siswa edisi 28: Jun 2009, Selangor: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.
Saharom Abd. Aziz, et. al., (2009). e@siswa edisi 29: Julai 2009, Selangor: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.
Srihanasham Noordin Asmar, (2007). PENDIDIK, Selangor: Widad Publication Sdn. Bhd.

Akhbar
Akhbar Berita Harian pada tarikh 17 Oktober 2008.
Akhbar Harian Metro pada tarikh 5 Mei 2008, 17 Mac, 18 Jun. 3 Ogos 2009.
Akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 16 Januari, 6 Mac, 4 Jun 2009.

Artikel Pilihan
Artikel Pilihan dari Perpustakaan Awam Alor Setar dan Perpustakaan Awam Merbok.

Laman Web
http://www.utusan.com/mengatasigengsterisme (diambil pada tarikh 7 Ogos 2009)
http://www.tripod.com/muda/ (diambil pada tarikh 5 Ogos 2009)

No comments:

Post a Comment