RSS

Saturday, November 7, 2009

Kerja Kursus BM 1 (Analisis Penggunaan Kata Kerja) PPISMP Sem.2

Bab 2: Kata Kerja Bahasa Melayu
2.1 Konsep Kata Kerja

Menurut Prof. Dr. Asmah Hj. Omar kata kerja ialah “kata yang berfungsi pada predikat dalam ayat. Ia boleh dibahagikan kepada kata kerja leksikal dan kata kerja bantu. “ (Prof. Dr. Asmah Hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 81)

Kata kerja merupakan perkataan yang menjadi inti bagi binaan frasa kerja. Manakala unsur lain yang wujud dalam binaan frasa tersebut boleh terdiri daripada objek, pelengkap, kata bantu dan keterangan bagi menyempurnakan lagi atau mengindahkan lagi sesuatu ayat. Contoh;
i. Dia membaca novel cinta.
ii. Adik menangis dalam buaian.
iii. Rumah besar itu dibina oleh kontraktor.
iv. Dia tiba-tiba ditelan oleh keramaian orang.

Dalam frasa di atas, ‘membaca’, ‘menangis’, ‘dibina’ dan ‘ditelan’, merupakan unsur intinya, iaitu unsur yang wajib ada dalam binaan ayat tersebut. Jika unsur atau inti tersebut tiada, ayat-ayat tersebut tidak akan berfungsi atau bermakna.

Menurut nahu yang disusun Za’ba, kata kerja adalah juga disebut sebagai segala perkataan yang yang menyebut perbuatan yang dikerjakan atau keadaan yang diadakan. Namun, definisi tersebut kurang memuaskan. (Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 50)
Kata kerja bahasa Melayu tidak dapat ditentukan oleh perubahan bentuk. Oleh sebab itu, ia sudah ditegaskan bahawa penjenisan golongan kata dalam bahasa Melayu melalui tiga tahap (menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 50 - 51) iaitu;
i. Imbuhan
ii. Penanda kata
iii. Golongan kata

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 50-51
Prof. Dr. Asmah Hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 81
2.2 Penjenisan Golongan Kata Kerja

Golongan kata kerja merangkumi sejumlah perkataan yang dapat menjadi unsur inti dalam binaan frasa. (Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hal. 88). Kebanyakan sarjana menjeniskan golongan kata kerja kepada dua golongan iaitu transitif dan tak transitif.

Namun, penjenisan yang agak berbeza menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Menurut penulisan mereka, dalam bahasa Melayu terdapat dua golongan kata kerja iaitu kata kerja sederhana tidak berimbuhan; dan kata kerja terbitan yang dibentuk daripada penggunaan imbuhan tertentu. (Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 51). Kata kerja sederhana adalah kata-kata yang menyatakan gerak-geri seharian, seperti;
i. Zuhairi tidur dengan nyenyak.
ii. Yati sudah pergi ke pasar.
iii. Semua pelajar duduk di atas lantai.
iv. Azmilia baru pulang dari sawah.

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008), dalam bukunya Bahasa Melayu 1 (Siri Pendidikan Guru) halaman 152, menjeniskan kata kerja kepada dua golongan iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, ia sama dengan Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 88. Dua golongan kata kerja tersebut kemudiannya terbahagi pula kepada dua lagi kategori iaitu transitif aktif dan pasif, manakala tak transitif pula ialah berpelengkap dan tanpa pelengkap.

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 51
Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Bahasa Melayu 1 (Siri Pendidikan Guru), hal. 152
Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hal. 88
2.2.1 Kata Kerja Transitif

Kata kerja transitif merupakan kata kerja yang memerlukan objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ia tidak boleh berdiri dengan sendirinya sebagai predikat.

Menurut Prof. Dr. Asmah Hj. Omar (1982), menyatakan bahawa kata kerja transitif adalah;
“kata kerja yang boleh diikuti oleh objek.” (Prof. Dr. Asmah hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 86)
Beliau memberi contoh;
i. Dia menulis surat
KK Objek
ii. Dia membaca buku
KK Objek
Nik Safiah Karim et al.,(2008), dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga mengatakan, kata kerja transitif ialah kata kerja yang menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek.

Objek yang digunakan dalam kata kerja transitif boleh berubah tempat menjadi subjek atau dalam erti kata lain ia boleh dipasifkan. Justeru, kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada dua bahagian seperti yang disebut oleh Siti Hajar dalam rajah di atas iaitu kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif.

Kata kerja transitif juga dicerminkan melalui penggunaan imbuhan. Antara imbuhan yang digolongkan dalam kata kerja transitif ialah imbuhan pentransitif iaitu imbuhan yang boleh membentuk kata kerja ini. Kehadiran imbuhan tersebut berhubungan dengan bentuk kata dasar iaitu ‘awalan’ dan ‘akhiran’. Setiap daripada imbuhan yang termasuk dalam golongan pentransitif boleh berlaku bersendirian atau bergabung dengan yang lain di mana kata dasar awalan boleh bergabung dengan akhiran. Namun, bagi kedua-dua akhiran ‘kan’ dan akhiran ‘i’ tidak boleh hadir sekali atau serentak dalam satu perkataan. Contohnya bagi perkataan ‘mengatakan’, ia tidak boleh menjadi ‘mengatakani’. Oleh itu, imbuhan ini berfungsi untuk menerbitkan kata kerja transitif sama ada pasif atau aktif.

Prof. Dr. Asmah hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 86
Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hal. 89
Kata kerja transitif aktif
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang berhubung langsung dengan penyambut atau objek (frasa/ perkataan yang bergaris) dalam predikat frasa kerja. Ia juga melibatkan dua kata nama iaitu kata nama pertama ialah pelaku kepada perbuatan dan kata nama yang kedua ialah mangsa atau yang diperlakukan/ dikenai. Kata kerja transitif aktif juga banyak menggunakan awalan ‘meN-‘, Contoh;
a) Ibu menyidai kain.
b) Dia melihat bintang.
c) Ibu membersihkan halaman rumah.
d) Dia membuang sampah.
e) Ali mencuci kereta.

Kata kerja transitif pasif
Kata kerja transitif pasif pula ialah kata kerja yang terhasil daripada proses perubahan ayat aktif kepada ayat pasif. Dalam proses inilah yang berlaku di mana objek hadir menjadi subjek dan biasanya ia menggunakan awalan ‘di’ dan perkataan ‘oleh’ seperti;
i. Kain disidai oleh ibu.
(Perkataan bergaris = Objek menjadi subjek)
ii. Bintang dilihat oleh dia.
iii. Halaman rumah dibersihkan oleh ibu.
iv. Sampah dibuang oleh dia.
v. Kereta dicuci oleh Ali.


Penggunaan imbuhan memudahkan penggolongan kata kerja transitif. Penggolongan kata kerja ini berdasarkan penggunaan imbuhan.

2.2.2 Kata Kerja Tak Transitif

Kata kerja tak transitif merupakan kata kerja yang sudah lengkap maksudnya dan ia tidak memerlukan objek atau penyambut selepasnya. Jika dinoktahkan sekali pun pada kata kerja tersebut ia masih dapat difahami dan sesuai serta tidak janggal. Kata kerja ini tidak boleh dipasifkan dan juga tidak terkena pada orang lain atau benda lain. Contoh;

i. Budak itu bernyanyi.
ii. Ibu sedang tidur.
iii. Aku amat terkilan.
iv. Aku hendak melaung.
v. Ali suka berbual.

Kata kerja tak transitif dibahagikan kepada dua subgolongan iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap dan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap.

Kata kerja tak transitif berpelengkap bermaksud kata kerja yang memerlukan pelengkap untuk menyempurnakan frasa ayat. Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan frasa sendi nama. Contoh;

i. Rumahnya berlantaikan tanah. (pelengkap kata nama)
ii. Burung-burung bersiul riang. (pelengkap kata adjektif)
iii. Ayah beransur pulih. (pelengkap kata adjektif)
iv. Para perwakilan akan melawat ke Langkawi. ( Frasa sendi nama)

Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya. Kata kerja ini boleh berdiri sendiri sebagai predikat ayat. Contohnya;

i. Ramai orang yang datang.
ii. Mereka selalu berbincang.
iii. Dia suka bergurau.
iv. Tina nak lari.
v. Layang-layang tu boleh terbang.
Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ini juga boleh diikuti oleh unsur keterangan selepasnya yang berfungsi sebagai maklumat tambahan atau keterangan (frasa yang bergaris dalam ayat). Contohnya;

i. Ramai orang yang datang ke surau itu.
ii. Mereka selalu berehat di bilik tamu.
iii. Dia suka bergaduh dengan kawan-kawannya.


Bab 4: Kesimpulan
Berdasarkan kepada dapatan kajian di atas,cerpen ‘Tina’ karya Aminhad dalam Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menggunakan kesemua jenis penggolongan kata kerja iaitu kata kerja transitif aktif dan pasif juga kata kerja tak transitif berpelengkap dan tak berpelengkap. Kajian dibuat bermula dari perkataan yang pertama hingga perkataan ke-350 sahaja dan secara kesimpulan dapat dibuat terhadap kajian penggunaan kata kerja dalam cerpen tersebut ialah penulisnya iaitu Saudara Aminhad lebih banyak menggunakan jenis kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dalam karya ini. Antara faktor beliau lebih selesa menggunakan kata kerja jenis tersebut ialah peredaran masa yang berlaku dan karya ini adalah merupakan karya moden. Jika karya klasik, kemungkinan bentuk kata kerja transitif pasif digunakan secara dominan. Hasil dapatan kajian dapat dilihat dalam jadual yang disediakan. Kaedah jadual serta gundalan telah digunakan bagi memudahkan saya untuk memperoleh jumlah kata kerja yang terdapat dalam cerpen ‘Tina’ ini dengan kadar seberapa banyak yang mungkin.
Justeru, melalui tugasan ini para pelajar telah memperoleh ilmu yang sangat berguna terutama mengenai penggunaan kata kerja.









Rujukan
Abdullah Hassan, (2007). Linguistik Am (Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu), Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Hajah Noresah bt. Baharom, et al., (2007). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarudin Hj. Husin et al., (1997). Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1997). Nahu Melayu Moden, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar)

Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin. (2004). Bahasa Melayu STPM Edisi Kedua, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar Sdn. Bhd.)

Prof. Dr. Asmah Hj. Omar, (1982). Nahu Melayu Mutakhir, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam, (1985). Kajian Bahasa (untuk pelatih Maktab Perguruan), Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar Sdn. Bhd.)

Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Bahasa Melayu 1 (Siri Pendidikan Guru), Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd Nor, (2006). Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment