RSS

Saturday, November 7, 2009

Kerja Kursus BM 1 (Kertas Kerja) PPISMP Sem.3

BAB 2:
PANDUAN PENYEDIAAN KERTAS KERJA PROJEK

2.0 Pengenalan

Dalam Mengurus Majlis dan Acara Rasmi (2008: 14) menyatakan bahawa kertas kerja sangat penting kerana ia adalah sebuah dokumen yang disediakan secara lengkap berkenaan acara yang sudah dirancang supaya dilaksanakan. Tujuan umum kertas kerja menurut Maimunah (1993), ialah mengeluarkan idea-idea dan data tertentu mengenai sesutu tajuk kepada sasaran tertentu; menambahkan pengetahuan tertentu kepada sasaran; dan menggalakkan perbincangan, diskusi serta penyelidikan susulan dalam bidang-bidang tertentu.

Draf kertas kerja perlulah diserahkan terlebih dahulu untuk disemak dengan teliti bagi menentukan cadangan-cadangan yang dikemukakan boleh diluluskan atau sebaliknya. Oleh itu, kertas kerja haruslah kemas dan sistematik kerana ia merupakan antara faktor atau instrumen penting sesebuah program atau aktiviti yang ingin dilaksanakan itu diluluskan.

Kertas kerja yang kemas bukan sahaja memudahkan pihak atasan mengetahui maklumat penting mengenai sesebuah program itu cuba diadakan tetapi menunjukkan kekredibilitian seseorang guru dalam membuat perancangan. Justeru, untuk menyediakan kertas kerja projek seharusnya mengikut panduan dan format yang sering digunakan yang kemas, bersistematik dan tanpak profesional.

2.1 Format/ Konsep Kertas Kerja Projek

Menurut Samsudin Wahab dalam bukunya Mengurus Majlis dan Acara Rasmi (2008: 15) dinyatakan bahawa tidak ada satu format khusus dalam menyediakan kertas kerja. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada objektif penyediaan kertas kerja tersebut. Ciri-ciri penulisan kertas kerja projek ini ada dinyatakan oleh beberapa orang penulis antaranya ialah Nuraini Yusoff, Samsudin Wahab dan Ab. Rahman Ab. Rashid. Ciri-ciri yang dinyatakan Nuraini Yusoff dalam Penulisan Berformat (1990: 100) dilihat sama dengan Ab. Rahman Ab. Rashid, et al., (2003: 309), Dalam Pengajian Melayu 1 yang menyatakan kertas kerja projek mengandungi ciri-ciri berikut:
2.1.1 Tajuk/ Nama acara

Tajuk sesuatu kertas kerja bergantung kepada tujuan kertas kerja dibuat dan hendaklah meliputi segala idea utama yang hendak disampaikan. Tajuk kertas kerja perlu ringkas, sebaik-baiknya tidak melebihi 15 patah perkataan.

2.1.2 Rasional

Rasional atau abstrak lebih kepada penyataan ringkas tujuan atau sebab sesuatu program atau acara itu cuba dilaksanakan. Rasional atau abstrak ini menurut Bahasa Melayu Komunikasi: Komunikasi Menulis (2003: 159) seelok-eloknya ditulis tidak melebihi 200 patah perkataan. Menurut Nuraini Yusoff dalam Penulisan Berformat (1990: 100) pula ia memadai antara 100 hingga 150 patah perkataan.

2.1.3 Objektif

Objektif ialah tujuan atau matlamat yang ingin dicapai dalam program yang cuba dianjurkan. Objektif lebih merupakan idea penulis kertas kerja dan menentukan daya penarik kepada audien untuk mendengar dan menilai isi kertas kerja tersebut.

Objektif ditulis dalam bentuk pecahan yang menggunakan nombor seperti 1.1.1, 1.1.2, 1.1.3 dan seterusnya.

2.1.4 Jangka Masa

Jangka masa ialah tempoh pelaksanaan sesebuah program itu diadakan. Ia bergantung kepada berapa banyak aktiviti yang ingin dilaksanakan. Ada program yang hanya memakan masa sehari dan ada juga sampai seminggu dan sebulan. Contohnya, ‘Sambutan Bulan Kemerdekaan’ yang biasanya akan berlangsung selama sebulan.



2.1.5 Kumpulan sasaran

Kumpulan sasaran merujuk kepada mereka yang difikirkan sesuai menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Jika di sekolah sekalipun, tidak semua pelajar terlibat dalam sesebuah program atau acara yang dilangsungkan di sana. Kadang kala, ianya hanya melibatkan pelajar tahap satu dan adakalanya hanya melibatkan pelajar tahap dua. Jika di universiti atau pusat-pusat pengajian tinggi lain, kumpulan sasaran sesuatu program mungkin mengikut kesesuaian kursus. Contohnya, ‘Pertandingan reka cipta’ mungkin para pesertanya dikhususkan kepada pelajar jurusan seni reka bentuk. Namun, program yang berbentuk ceramah dan forum mungkin kumpulan sasaran ialah semua pelajar.

2.1.6 Andaian-andaian halangan yang mungkin timbul semasa membuat kajian / projek.

Andaian-andaian ini harus dinyatakan supaya pihak terbabit dapat membantu dan memahami situasi tersebut apabila ianya benar-benar terjadi. Sebagai contoh, mikrofon tidak berfungsi, sistem audio terganggu dan sebagainya. Justeru, pihak berkenaan pastinya dapat memberikan saranan dan langkah proaktif yang dapat membantu melancarkan perjalanan program.

2.1.7 Sumber Kewangan

Perihal kewangan sememangnya sangat penting dan perlu dinyatakan dengan sejelas-jelasnya oleh penulis. Kegagalan dalam mendapatkan kelulusan pelaksanaan sesebuah program selalunya disebabkan oleh faktor kewangan. Justeru, anggaran kos perbelanjaan terhadap sesebuah program harus relevan. Sumber kewangan, jika di sekolah biasanya daripada koperasi sekolah dan bendahari PIBG. Di IPT pula, sumber kewangan biasanya daripada stor utama institut, peruntukan yang sedia ada, tajaan daripada agensi tertentu dan lain-lain.



2.1.8 Penubuhan Jawatankuasa

Setiap program yang dilaksanakan semestinya harus mempunyai struktur organisasi pelaksana yang lengkap. Ahli jawatankuasa adalah orang yang telah dipertanggungjawabkan terhadap sesuatu tugas yang telah ditetapkan. Biasanya ia akan diketuai oleh penasihat yang terdiri daripada orang atasan sesebuah institusi seperti Guru Besar, Pengetua, Pengarah dan sebagainya.

2.1.9 Menentukan jadual tugasan

Penentuan jadual tugasan dilakukan supaya tindakan atau perjalanan program mengikut masa dan tarikh yang telah ditetapkan sebagai garis panduan untuk dirujuk oleh ahli jawatankuasa. Ia juga bertujuan supaya proses-proses seperti penyediaan tempat, permohonan menggunakan dewan, alatan dan sebagainya telah dilakukan mengikut waktu yang telah ditetapkan demi kelancaran dan kesempurnaan perjalanan dalam usaha menganjurkan program, majlis atau acara rasmi lain.

2.1.10 Pelaksanaan

Pelaksanaan atau juga dikenali sebagai modus operandi ialah perihal mengenai kaedah atau tatacara pelaksanaan sesebuah program yang ibgin dianjurkan. Ianya meliputi dari aspek pelaksanaan dalam pengurusan majlis, pengacaraan, kehakiman (jika program itu berbentuk pertandingan) dan sebagainya.










2.2 PANDUAN PENYEDIAAN KERTAS KERJA PROJEK
Mengikut Ab. Rahman Ab. Rashid, et al., dalam Pengajian Melayu 1, sebelum kertas kerja ditulis, penulis perlu melakukan tindakan-tindakan berikut:

2.2.1 Mengenal pasti audien

Dalam proses menghasilkan kertas kerja, penulis harus mengkaji kumpulan sasaran atau audien yang merupakan khalayak langsung dan serta-merta terlibat dalam program yang cuba dilaksanakan. Sasaran juga terdiri daripada pembaca umum kertas kerja tertentu. Justeru, pertimbangan yang sewajarnya perlu diambil kira dan diteliti terhadap kumpulan sasaran tersebut sebelum menulis sesebuah kertas kerja.

2.2.2 Mengenal pasti bentuk penulisan
Penulisan kertas kerja terdapat dalam beberapa bentuk, iaitu:

i. Kertas kerja bagi tujuan memberi panduan menerokai bidang-bidang pengetahuan baharu merupakan kertas kerja berbentuk tinjauan.
ii. Kertas kerja bagi tujuan memberi penerangan terperinci tentang sesuatu merupakan kertas kerja berbentuk deskriptif.
iii. Kertas kerja bagi tujuan memberi penjelasan terhadap sesuatu kejadian yang berlaku adalah kertas kerja yang berbentuk penjelasan.
iv. Kertas kerja bagi tujuan mencadangkan tindakan-tindakan tertentu adalah berbentuk perumusan.

2.2.3 Mengenal pasti bahasa yang digunakan

Dalam menyediakan sesebuah kertas kerja, aspek tatabahasa dan gaya penulisan harus dipatuhi oleh penulis. Penulis perlu mengikut gaya penulisan kertas kerja yang meliputi aspek-aspek berikut:




i. Keseragaman
Keseragaman dari segi ejaan, tanda baca dan cara menulis petikan. Dalam menyediakan kertas kerja yang memenuhi aspek ini, penulis harus sentiasa merujuk kamus.

ii. Keboleh bacaan
Iaitu memilih perkataan, istilah, laras dan wacana yang sesuai dengan latar belakang pengetahuan dan pendidikan audien.

iii. Memenuhi kehendak pembaca
Penulisan kertas kerja seharusnya menggunakan bahasa yang bersahaja tetapi jelas maksudnya, tidak terlalu meleret-leret dan berbunga-bunga.

2.2.4 Mengenal pasti teknik penulisan

Kertas kerja hendaklah ditaip langkau dua baris. Petikan-petikan yang melebihi dua baris hendaklah diketengahkan dan ditaipkan dengan langkau satu baris. Panjang setiap kertas kerja seelok-eloknya tidak melebihi 4000 patah perkataan.

2.2.5 Mengenal pasti bahagian-bahagian kertas kerja

Bahagian-bahagian umum dan lazim kertas kerja sebenarnya telah dinyatakan di atas dalam konsep/ format kertas kerja (Rujuk nota 2.1). Bahagian utama merupakan bahagian yang meliputi aspek-aspek penting dalam kertas kerja yang dipecah-pecahkan kepada bahagian-bahagian kecil.

Maklumat tambahan yang ingin dinyatakan ialah kertas kerja mempunyai bahagian penutup yang memuatkan rumusan atau saranan. Bahagian lampiran meliputi rujukan (mengikut kesesuaian), gambar rajah, glosari dan sebagainya.













BAB 3:
KERTAS KERJA PROJEK BAHASA DI SEBUAH SEKOLAH















KERTAS KERJA
PERTANDINGAN SKETSA: SEJARAH MEMBINA JATI DIRI BANGSA
SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN TAHUN 2009
SEKOLAH KEBANGSAAN HAJI OMAR TAHIR, 08100 BEDONG, KEDAH.

1.0 Pengenalan
Dalam menghadapi era ledakan maklumat dan informasi ini, pelbagai gejala melanda dan menyelusur masuk dalam jiwa dan sanubari masyarakat kita khususnya golongan remaja dan kanak-kanak yang meningkat dewasa. Dalam kemewahan dan kesenangan hidup yang dicapai, membuatkan mereka bertambah lupa kepada sejarah keperitan negara sebelum merdeka. Mereka celik tanpa melihat penduduk negara ini hidup dalam ketakutan gara-gara keganasan dan kekejaman komunis, pondok-pondok kecil yang menjadi tempat berteduh dibakar tanpa rasa belas, kanak-kanak perempuan dan golongan wanita menjadi mangsa pemuas nafsu tanpa rela dan pelbagai lagi tragedi menyayat hati.

Justeru, atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan berintegriti, Panitia Bahasa Melayu sekolah ini merancang untuk menganjurkan sebuah program yang bertajuk “Pertandingan Sketsa: Sejarah Membina Jati Diri Bangsa” yang bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara yang ke-52 supaya para pelajar sedar akan kepentingan dan tanggungjawab mereka sebagai pewaris negara dalam mempertahan dan mengekalkan kemerdekaan negara yang kini sudah berusia melebihi setengah abad lamanya.

Kebebasan dan keamanan yang dimiliki boleh dirampas oleh kuasa asing sekiranya masyarakat negara ini alpa dengan budaya hedonisme yang dibawa Barat. Oleh itu, program pertandingan sketsa ini haruslah direalisasikan demi kepentingan dan kemaslahatan bersama.





2.0 Rasional
Tujuan utama penyediaan kertas kerja ini adalah diharapkan dengan penganjuran program ini dapat menghidup dan menyemarak semangat patriotisme dalam diri masyarakat khususnya golongan pelajar yang dilihat penghayatnnya semakin hari semakin luntur. Pertandingan sketsa yang bertemakan “Sejarah membina jati diri bangsa” ini dilihat begitu relevan dengan keperluan semasa yang semakin mendesak supaya institusi pendidikan berperanan lebih luas. Ia dilaksanakan selama sehari iaitu cadangan tarikh pada 20 Ogos 2009 dan bertempat di Dewan Besar S.K.H.O.T. Penyertaan terhad kepada murid tahap dua (7 orang satu kumpulan).

3.0 Nama Program
“Pertandingan Sketsa: Sejarah Membina Jati Diri Bangsa”

4.0 Tema
“Sejarah Membina Jati Diri Bangsa”

5.0 Objektif Program
5.1 Menimbulkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan mempertahankan kemerdekaan melalui unsur kesenian (seni persembahan).
5.2 Memperkembangkan potensi dan bakat pelajar serta memberi keyakinan diri kepada pelajar dalam berhadapan dengan orang ramai.
5.3 Mengisi masa pelajar dengan aktiviti yang menarik dan bermanfaat bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang Ke-52.
5.4 menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar melalui mesej yang disampaikan dalam sketsa yang dipersembahkan.

6.0 Tarikh dan waktu cadangan
Tarikh: 20 Ogos 2009
Masa : 7.45 pagi hingga 12.30 tengah hari

7.0 Anjuran
Panitia Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Haji Omar Tahir.
8.0 Kumpulan Sasaran
Murid Tahap Dua (Tahun 4, 5 dan 6) S.K.H.O.T

9.0 Cadangan program-tempat
9.1 Dewan Besar
S.K. Haji Omar Tahir, 08100 Bedong, Kedah.
9.2 Majlis Jamuan di Kantin
S.K. Haji Omar Tahir, 08100 Bedong, Kedah.

10.0 Ahli Jawatankuasa
Rujuk Lampiran A

11.0 Tentatif Program
Rujuk Lampiran B

12.0 Sumber Kewangan
Rujuk Lampiran C

13.0 Senarai Peralatan yang diperlukan
Rujuk Lampiran D

14.0 Penentuan Jadual Tugasan

Tarikh Perkara Tindakan
20.07.2009 Mesyuarat pelantikan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Sketsa: Sejarah Membina Jati Diri Bangsa. Semua ahli Panitia Bahasa Melayu SKHOT
01.08.2009 Proses penyediaan kertas kerja. Setiausaha Program
07.08.2009 Proses penyediaan tempat dan peralatan serta publisiti. Semua AJK Pelaksana
20.08.2009 Hari Pertandingan. Semua AJK Pelaksana


15.0 Modus Operandi
15.1 Setiap ahli jawatankuasa telah diberi tugasan seperti yang dilampirkan pada Lampiran A dan masing-masing memahami portfolio tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan.
15.2 Pertandingan sketsa ini terhad kepada pelajar tahap dua sahaja.
15.3 Pertandingan diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi 1 dan sesi 2 dan diadakan di dewan besar sekolah.
15.4 Persembahan dihadkan selama 8 minit sahaja.
15.5 Pemenang dinilai kepada tiga aspek iaitu kreativiti persembahan, bahasa dan isi. Keputusan hakim adalah muktamad.
15.6 Berikut adalah lakaran kedudukan pentas dan dewan semasa hari pertandingan.


















Petunjuk:




16.0 Penutup
Diharapkan agar pihak tuan dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya dan meluluskan agenda murni yang telah Panitia Bahasa Melayu sekolah ini rancangkan agar dapat melahirkan modal insan yang mampu membawa negara ke peringkat global. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”

Disediakan oleh,



(ABDUL SHARIL HAZRI BIN NORDIN)
Setiausaha,
Pertandingan Sketsa,
Sempena Bulan Kemerdekaan 2009,
S.K. Haji Omar Tahir, Bedong, Kedah.

1 comment:

pikah said...

assalmaulaikum. macamana saya nak cari rujukan tentang kertas kerja ini?

Post a Comment