RSS

Saturday, November 7, 2009

Kerja Kursus BM 2 (Kemahiran Berbahasa dan Kesusasteraan Melayu) PPISMP Sem.2

Bab 2: Kemahiran Membaca

2.1 Konsep Kemahiran Membaca

Tuntutan terhadap kepentingan membaca bermula pada zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi di mana Malaikat Jibril menyampaikan wahyu pertama kepada baginda yang berbunyi “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah-darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-Alaq:ayat 1-5)
Beberapa orang tokoh telah mentafsirkan makna membaca antaranya Harris dan Sipay (1980) mengatakan “membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis.”
Takrif membaca menurut Smith dan Johson (1980) ialah “membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca.”
Goodman (1973) pula mentakrifkan membaca sebagai proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda. (Sumber: Modul Pengajaran dan Pembelajaran BM 2, Jabatan Pengajian Melayu IPGM Kampus Darulaman, hal. 17)
Pumfrey (1977) berpendapat “membaca bukan hanya bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang sesuatu yang dibaca tetapi lebih jauh daripada itu. Ia merupakan proses pemikiran yang membina”. (Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dan Arb’ie b. Sujud. (1997). Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, hal. 233)
2.2 Bacaan Intensif
Bacaan intensif bermaksud kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama. Bacaan ini dibaca secara lebih giat, hebat dan bersungguh-sungguh. Ia melibatkan penelitian yang lebih terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang terlibat dengan bacaan intensif adalah membaca telaah isi dan telaah bahasa. Telaah isi menekankan penelitian, pemahaman, membaca kritis dan membaca idea manakala telaah bahasa pula menekankan aspek-aspek yang berkaitan bahasa.
Bacaan intensif merupakan peringkat bacaan yang membolehkan para pelajar mengembangkan beberapa kebolehan, antaranya ialah kebolehan meneliti bahan bacaan dari segi penggunaan kosa kata, tatabahasa, kata kerja dan sebagainya. Bacaan intensif juga melatih pelajar memahami dan mentafsir sesuatu bacaan dengan cepat dan tepat. Selain itu, bacaan intensif juga melatih pelajar dalam usaha mendapatkan maklumat secara terperinci. Kemahiran-kemahiran sangat berguna kepada guru bahasa terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

2.1.1 Konsep bacaan intensif

Bacaan intensif ialah proses bacaan yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa di bawah bimbingan guru dan ia menjadi asas kepada guru untuk membuat penjelasan dan ulasan lanjut mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembangkan perbendaharaan kata kepada murid agar mereka tidak ketinggalan dalam memperoleh kemahiran membaca secara efektif.
Pada peringkat bacaan ini, guru harus bijak mengatur strategi sama ada melatih membaca dengan kaedah gerak laju, tetapi pelajar masih mampu mengikut aktiviti membaca tersebut atau memberi pelbagai latihan yang berlainan. Semasa melakukan bacaan intensif, kaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri kajian tatabahasa, iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya.

2.1.2 Tujuan bacaan intensif

Tujuan bacaan intensif dilakukan ialah bagi membolehkan kanak-kanak membaca dengan betul dari segi intonasi, sebutan, kelancaran dan cekap mengenali tanda-tanda bacaan. Selain itu, ia bertujuan mengembangkan kebolehan mentafsir isi kandungan bahan bacaan. Bacaan intensif membolehkan pelajar mengenal pasti laras bahasa yang betul mengikut teks bacaan yang diperoleh sama ada perlu mengikut laras agama, berita, iklan dan sebagainya.
Disamping itu, dapat melatih kanak-kanak mendapatkan maklumat dengan lebih teliti dan terperinci serta dapat membuat kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya. Tujuan bacaan intensif juga bagi melatih pelajar mengesan, memaham dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa dan melatih membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.

2.1.3 Keperluan dan cara melakukan bacaan intensif

Bacaan intensif memerlukan pelajar supaya memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap proses bacaan secara intensif. Bahan-bahan bacaan intensif boleh dibincangkan bersama guru bahasa dan pelajar dalam kelas, kadang-kadang dianalisa dan seterusnya dijadikan asas untuk latihan-latihan menulis.
Selain itu, pada peringkat ini ia memerlukan ketekunan yang tinggi dalam menajamkan penguasaaan dalam meneliti, memahami dan mentafsir bahan bacaan dan ia juga memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan makna. Para pelajar patut dibenarkan menggunakan kamus atau sebuah buku teks rujukan tatabahasa.
Aktiviti-aktiviti bacaan secara intensif hendaklah dipelbagaikan setiap hari supaya murid tidak bosan dan jemu dengan proses bacaan yang dilakukan dan segala kajian harus dilakukan secara mendalam.


2.2 Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif bermaksud kegiatan membaca secara luas/luar. Bacaan intensif merupakan proses bacaan yang dilakukan di luar kelas. Ia dilakukan dalam pelbagai bentuk sama ada membaca di luar kelas secara individu atau secara berkumpulan. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan bacaan ekstensif adalah memahami isi-isi penting bahan bacaan dengan cepat dan menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Pada peringkat ini juga, ia menitik beratkan aspek pengukuhan bacaan, tingkat kepantasan membaca dan minat yang tinggi untuk membaca. Biasanya ia melibatkan perkara-perkara berikut:

a) Membaca tinjauan
b) Membaca sekilas
c) Membaca dangkal

Membaca tinjauan dilakukan sebelum memulakan sesuatu bacaan. Menjadi kebiasaan, kita akan meneliti secara kasar terlebih dahulu sebelum memulakan bacaan secara terperinci. Hal ini melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan mendaftar kata yang terdapat dalam bahan bacaan.

Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat dalam penglihatan dan juga mendapatkan maklumat serta penerangan. Terdapat tiga tujuan utama membaca sekilas iaitu untuk memperoleh suatu kesan umum daripada isi kandungan bahan bacaan, menemukan hal-hal tertentu dalam bahan bacaan dan menemukan bahan bacaan daripada perpustakaan.
Membaca dangkal adalah bertujuan mendapatkan pemahaman secara dangkal yang bersifat luaran. Proses bacaan secara dangkal ini dilakukan secara santai tetapi menyenangkan.


2.2.1 Konsep bacaan ekstensif

Bacaan ekstensif merupakan kegiatan membaca yang dilakukan di luar bilik darjah tanpa bimbingan guru dan bahan bacaannya lebih luas dan bahan bacaannya berbeza-beza mengikut kesesuaian kepada pelajar dari segi perbendaharaan kata juga minat, umur, jantina, pengalaman dan cita-cita pelajar itu.. Bacaan ekstensif mengandaikan bahawa pelajar membaca sesuatu bahan tanpa menghadapi kesukaran dan seberapa yang mungkin dengan perasaan puas, seronok dan terhibur.
2.2.2 Tujuan bacaan ekstensif
Bacaan ekstensif bertujuan melatih pelajar membaca menggunakan cara yang tersendiri yang mudah baginya untuk memahami isi kandungan bahan bacaan tanpa bimbingan secara langsung dari orang lain. Ia juga bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa dan mendedahkan pelbagai laras bahasa kepada pelajar.
Selain itu, ia bertujuan mempertingkatkan mutu bacaan (fasih) disamping memupuk minat membaca dalam diri pelajar. Bacaan ekstensif juga bertujuan meningkatkan daya kreativiti yang tersimpan dalam diri pelajar terutama bagi mereka yang cerdas. Ia juga bagi memperkaya bahasa dan perbendaharaan kata, struktur ayat dan lain-lain juga membolehkan mereka memperoleh pengetahuan di samping dapat pula menghiburkan hati.










2.2.3 Keperluan dan teknik pengajaran bacaan ekstensif
Oleh sebab pelajar membaca tanpa bimbingan guru sepanjang masa, peranan pengajar ialah melatih mereka dengan teknik yang betul iaitu;
i. Mengkaji kandungan bahan bacaan. Pelajar mengkaji dahulu secara umum kandungan bahan kemudian cuba dapatkan tema atau persoalan pokok bahan tersebut.
ii. Membuat soalan berdasarkan kandungan bahan bacaan yang dipilih oleh pelajar. Ini akan membantu pelajar tersebut membaca dengan lebih mendalam.
iii. Menerangkan kepada pelajar tentang bagaimana memperoleh isi-isi penting dalam bacaan dan pada akhirnya pelajar membuat kesimpulan terhadap bahan bacaan.
iv. Mengkaji semula seluruh bacaan ekstensifnya setelah selesai membaca supaya dapat memastikan dia tidak tertinggal isi-isi penting.
v. Meminta pelajar membuat laporan bertulis tentang apa yang telah dibacanya dan mengemukakan laporan itu secara lisan kepada kelas sebagai maklum balas daripada hasil bacaannya.









Bab 3: Kritikan Sastera

3.1 PENGENALAN

Tanggapan Awal (Tahun 1930-an)

Kritikan sastera Melayu bermula sekitar pertengahan tahun 30-an. Kritikan sastera atau “literary criticism” ialah kegiatan memerikan, mempertimbangkan, menganalisis atau menilai karya seni. Kegiatan kritikan bukanlah bererti hanya mencari kesalahan tetapi kritikan yang baik menjelaskan kedua-dua sifat baik dan buruk, membuat pertimbangan baik buruknya dan diikuti dengan penilaian yang matang dan mantap.” (Hashim Awang (1987), Glosari Mini Kesusasteraan Melayu, Kuala Lumpur: Fajar Bakti,, hal. 52-53)

Pendefinisian awal istilah kritikan sastera di Malaysia, kita merujuk kepada pendapat Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam kertas kerjanya yang berjudul, “Latar Belakang kepada Aliran-aliran Mutakhir dalam Bahasa Malaysia: Satu Tinjauan Tradisi Kritikan” yang mengatakan; “Kritikan sastera di Malaysia hendaklah mengambil kira tulisan-tulisan yang ringan seperti yang terdapat di beberapa majalah dan akhbar” (Zainon S. Ahmad (2005), Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Media Trade, hal. 352)

Dengan pengertian yang dibuat Ungku Maimunah Mohd Tahir itu, Rahman Shaari telah berpendapat bahawa hasil tulisan sastera yang dihasilkan era 30-an, 40-an dan 50-an turut diambil kira.

Tulisan-tulisan yang dihasilkan pada awal 30-an lebih berkisarkan kepada pandangan dan pemujaan terhadap tokoh tertentu seperti esei yang berjudul ‘Ulasan Tun Sri Lanang dan Abdullah Munsyi”, karya Keris Melayu dan juga “Kita dan Abdullah Munsyi”, karya Anak Negeri. Tulisan mereka dianggap sebagai tulisan kritikan kerana analisis yang dibuat mengikut kemampuan serta tahap ilmiah penulis pada ketika itu. Namun, kritikan tersebut mampu mendalami dan mengupas isu-isu tersirat.

3.2 DEFINISI

Pelbagai pengertian diberi mengenai definisi kritikan sastera berdasarkan pendapat dan pandangan masing-masing tokoh dan penulis. Namun setiap definisi yang diberikan mempunyai hujah-hujah yang tersendiri.

Kritikan sastera menurut Wong Seng Tong (1935-1955) ialah “segala pandangan, fikiran, cita-cita dan perasaan yang ada kena-mengena dengan seni sastera Melayu. Reaksi terhadapnya yang hampir keseluruhan dimanifestasi melalui pelbagai makalah sastera yang termuat dalam berbagai jenis majalah dan surat khabar Melayu.” (Dipetik daripada Modul Pegajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu 2, Jabatan Pengajian Melayu IPGM Kampus Darulaman hal. 51)
Pengertian kritikan sastera menurut pandangan sdr. Rahman Shaari bermaksud, “……tulisan-tulisan tentang sastera yang mengandungi penilaian sama ada menggunakan pendekatan tertentu ataupun tidak…..tulisan yang berupa reaksi terhadap karya sastera. Reaksi tersebut mungkin sepintas lalu sahaja, dan mungkin juga amat serius dan penuh kesungguhan.” (Zainon S. Ahmad, Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, Crescent News, 2008, hal. 333)

Ali Ahmad pula berpendapat kritikan sastera ialah; “menilai, memuji, menunjukkan kesalahan, membanding dan menikmati.” (Zainon S. Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Trade Indah, 2005, hal. 353).
Kritikan sastera bagi pandangan Hashim Awang ialah; “Suatu wacana budaya mengolah pandangan, pendapat, pemikiran atau gagasan yang timbul daripada usaha-usaha menilai, mempertimbang dan menganalisis suatu penghasilan budaya berupa karya sastera.” (Zainon S. Ahamad, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Trade Indah, 2005, hal. 354).



3.3 KESIMPULAN DEFINISI

Jika diteliti kepada pendapat para sasterawan, tokoh bahasa dan ahli sarjana, kritikan sastera boleh disimpulkan sebagai satu proses yang berlaku bukan bertujuan menjatuhkan karya seseorang tetapi terdapat juga kritikan secara memuji, menilai, mencari kesalahan dan menganalisis. Kritikan secara mencari kesalahan yang dilakukan sesetengah pengkritik sastera bukan semata-mata mencari kesalahan dalam sesebuah karya tersebut tetapi sebenarnya ia dapat membantu meningkatkan mutu penghasilan karya penulis pada masa akan datang disamping mendekatkan diri pengkritik atau pembaca dengan karya tersebut.

3.4 FUNGSI KRITIKAN SASTERA

Berdasarkan kajian Zainon S. Ahmad (2007) dalam bukunya Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, Ilmu Trade Indah, hal. 352 telah merumuskan 10 fungsi kritikan sastera berdasarkan pendapat para sarjana sastera iaitu;
Fungsi untuk mencungkil aspek-aspek penting sesebuah karya. Pengkritik berupaya mencungkil aspek-aspek kewajaran atau sebaliknya dalam sesebuah karya. Kritikan yang dibuat bukan bertujuan mencari kelemahan semata-mata tetapi kritikan yang dibuat memperlihatkan kemampuan pengkritik mencari aspek-aspek penting karya yang dikritik dan secara tidak langsung ia mendekatkan pembaca dengan karya-karya sastera tertentu.
Berfungsi sebagai pencetus pemikiran. Idea-idea yang timbul berdasarkan kritikan yang dibuat oleh pengkritik berupaya menggerakkan pemikiran pembaca dan pengarang dan dijadikan bahan pemikiran dari satu zaman ke zaman. Di sinilah berlakunya penyaringan idea-idea sama ada idea atau pemikiran dahulu masih boleh diguna pakai atau sebaliknya. Proses menolak atau menerima idea ini akan membawa kepada satu perbincangan yang seterusnya memberi kesan mencetuskan pemikiran.


Fungsi dalam mempengaruhi genre kesusasteraan seterusnya. Perbincangan, polemik, penilaian dan sebagainya yang dihasilkan pengkritik sebenarnya telah memberi kesan terhadap genre penulisan seterusnya. Buktinya, sekitar tahun 50-an kegiatan Kritikus Asas 50 telah mempengaruhi penulisan sajak dan cerpen ketika itu.
Berfungsi menapis karya sedia ada dan mencorak karya akan datang. Penapisan dibuat berdasarkan penilaian baik buruknya dengan hujah-hujah daripada pelbagai bidang ilmudan pelbagai kecenderungan selera pembaca. Corak karya masa depan didorong oleh saranan-saranan dan pandangan yang matang.
Menyedar dan menggerakkan pengarang supaya memberi nafas baru dalam karya dan menyedarkan ke mana arah tuju sastera akan datang. Kritkan dapat mengingatkan penulis supaya melakukan pembaharuan jika ingin melihat kemajuan bidang kesusasteraan. Selain itu, kritikan sastera dapat memberi kesan kepada kedudukan karya.
Menjadi pendorong sesuatu aliran baru dan stail penulisan karya. Ia akan terlaksana jika penulis atau pengkarya bersikap positif dan sensitif terhadap kritikan yang dibuat kepada karyanya.
Kritikan sastera juga berfungsi memahami, mendekati, menganalisis serta mengkritik objek atau bahan kajian seperti karya. Apabila terdapat usaha mengkritik dan menganalisa terhadap sesebuah karya secara tidak langsung ia mendekatkan diri pengkritik dengan karya yang dikritiknya.
Berfungsi menyemarakkan suasana intelektual sesuatu zaman. Ia memberi kesan kepada kecerdasan dalam pemikiran yang lebih kreatif dan kritis.
Kritikan sastera juga berfungsi untuk menganalisis, menghurai, mengkritik dan menilai karya-karya sastera. Ia akan mendorong kepada perkembangan penulis dan penulisan umumnya.


3.5 CIRI-CIRI KRITIKAN SASTERA

Terdapat enam ciri-ciri kritikan sastera iaitu;
1. Sanjungan

Ciri kritikan secara sanjungan ialah tulisan yang kritikan yang memuji karya dan terdapat juga tulisan kritikan yang memuji pengarang. Ia menampilkan elemen-elemen yang menunjukkan bahawa karya tersebut baik dan menarik.
Contoh tulisan;
“Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi” (Majalah Guru, 1 Julai, 1935).

Isi sanjungan yang terdapat dalam karya tersebut ialah tentang ketokohan, kebijaksanaan dan kepahlawanan watak-watak seperti Bendahara Seri Maharaja, Hang Tuah dan Tun Perak. Selain itu, terdapat pujian yang diberikan kepada keindahan yang dipakai oleh Tun Seri Lanang sebagai “bahasa Melayu asli, jelas serta sedap.”

2. Teguran

Ciri yang dikatakan teguran ialah mengkritik serta memberi peringatan secara ikhlas dan menyatakan keistimewaan, kekuatan serta kelemahan sesebuah teks.
Contoh tulisan;
Tulisan kritikan begitu “Pandangan seorang Penuntut Tinggi kita tentang sebuah buku Melayu.” (Tulisan Aminuddin Baki tentang novel Korban Kesucian karya Keris Mas) dalam Utusan Zaman, 12 Jun 1949)

Isi teguran ialah mengenai gaya bahasa yang digunakan Keris Mas yang terlalu dipengaruhi oleh bahasa Inggeris.

3. Saranan

Tulisan yang mengandungi anjuran iaitu sesuatu yang disarankan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan sesebuah karya dengan tujuan memantapkan unsur-unsur yang membina karya tersebut melalui cadangan-cadangan dan nilai-nilai yang positif. Terdapat juga saranan berbentuk propaganda, di mana ia pernah berlaku sekitar era 50-an iaitu polemik yang berlaku antara ahli-ahli ASAS 50.
Contoh tulisan;
(a) “Seni untuk seni” oleh Hamzah. Tulisannya menekankan karya sastera seharusnya mempunyai fungsi menghibur dan mendidik.

(b)”Seni untuk masyarakat” oleh Asraf. Tulisannya menekankan perutusan, pengajaran dan memberi kesedaran kepada masyarakat. Beliau mengutamakan fungsi sosial.

4. Pendekatan

Cara mendekati sesuatu dengan membuat pertimbangan dan penilaian menggunakan sesuatu landas tertentu. Pendekatan-pendekatan yang terdapat dalam kritikan sastera ialah formalistik, moral/ agama, psikologi, sosiologi dan keindahan.

5. Penganalisisan

Merupakan tulisan kritikan yang menyelidik sesebuah karya secara terperinci dan mendalam. Perincian dari segi bahasa, motif, citra, watak dan sebagainya. Ia juga mengenai kepengarangan berdasarkan teori-teori tertentu. Pengkritik perlu menguasai bidang dan teori yang ingin diaplikasikan serta memiliki ilmu bantu yang relevan.


6. Penilaian

Tulisan kritikan yang menentukan mutu sesebuah karya sama ada mempunyai keistimewaan atau tidak. Ia memerlukan kebijaksanaan pengkritik untuk mendapatkan keadilan dan saksama dalam penilaian yang dibuat. Ciri-ciri yang perlu ada pada pengkritik antaranya ialah;
(a) mempunyai pengetahuan luas mengenai banyak aspek yang selalu
diguna pakai oleh penulis dalam penghasilan karya.
(b) tidak boleh bersikap berat sebelah, bias atau sikap negatif lain.
(c) bersikap jujur dengan mengemukakan kekuatan dan kelemahan karya
atau pengarang serta mengemukakan saranan jika ada.





















3.6 JENIS-JENIS KRITIKAN SASTERA

3.6.1 Sosiologi/ Kemasyarakatan

Pendekatan sosiologi menurut Mohd Yusof Hasan bererti “menghubung kaitkan hasil-hasil karya itu dengan masyarakat”. (Zainon S. Ahmad. (2005). Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, hal. 404). Pada umumnya, kritikan jenis ini sesuai untuk novel dan cerpen. Pemikiran melalui pendekatan sosiologi yang agak mantap telah dimulakan oleh penulis-penulis esei tahun 50-an, terutaman Asraf dan Hamzah.
Asraf mendukung konsep “Seni untuk masyarakat” manakala Hamzah pula mendukung konsep “ Seni untuk seni”. Walau bagaimanapun, konsep yang didukung oleh Asraf dilihat lebih bertenaga dari segi pemikirannya. Asraf berjaya mengemukakan betapa perlunya penulis menganut fahaman yang menyokong kebangkitan dan membela nasib rakyat yang tertindas. Juga membicarakan konsep realisme serta menggunakan istilah borjuis dan protelar.
Menurut Zainon S. Ahmad (2008), dalam bukunya Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, mengatakan bahawa pendekatan sosiologi bertolak dari pandangan bahawa sastera merupakan cermin kehidupan masyarakat atau bayangan kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Ia timbul disebabkan hakikat bahawa pengarang;
a) Ahli masyarakat dan mendapat pengaruh masyarakat. Pengarang menjadikan kehidupan masyarakat sebagai sumber atau aspirasi untuk berkarya.
b) Pengarang merakamkan kehidupan masyarakat dalam karya dengan bertindak mengikut apa yang diketahui dan dekat dengannya.
c) Pengarang menyusun rentetan pengalaman kehidupan masyarakat, difahami, direnungi, difikir dan diimaginasikan dalam bentuk tulisan.
d) Pengarang tidak akan terlepas daripada nilai budaya, politik dan ekonomi sesebuah masyarakat.
e) Pengarang menokok tambah dalam karya-karya tentang kehidupan masyarakat yang dibawa masuk dalam karya. Ini bermaksud, isu kehidupan diubahsuai mengikut kehendak pengarang.
Berdasarkan perkara yang dibincangkan di atas, ternyata kesusasteraan Melayu sangat berhubung kai dengan pendekatan kemasyarakatan. Antara pengkritik sastera yang sering menggunakan pendekatan ini ialah Kassim Ahmad, Pena Patriot, Yahaya Ismail dan Ismail Hussein.
Tulisan Kassim Ahmad menurut Rahman Shaari, pendekatan sosiologi yang digunakannya berteraskan aliran realisme sosialis. Contoh tulisan kritikanKassim Ahmad terhadap beberapa novel antaranya;
a) Novel ‘Jalan Pulang’ oleh Anas K. Hadimaja. Menurut Kassim Ahmad, latar belakang sejarah tidak penting dalam novel ini kerana cerita tersebut boleh berlaku pada akhir abad ke-19 atau sepanjang abad ke-20. Dan;
b) Novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad. Beliau membuat penilaian negatif degan mengatakan novel tersebut menemui kegagalan keran penulisnya tidak memahami hakikat mengenai keadaan manusia dan destinasinya yang agung.
Sosiologi juga menyentuh soal-soal yang berhubungan dengan perubahan masyarakat, baik secara beransur atau mengenjut seperti revolusi, dari suatu jenis masyarakat kepada jenis yang lain; misalnya dari feudalisme kepada kapitalisme. Ia juga melihat persoalan dalaman yang kecil seperti hal-hal konflik antara kelas, kumpulan dan sebagainya. Unsur-unsur yang ditekankan dalam pendekatan sosiologi ialah;
1. Pengarang : memberi tumpuan untuk menunjukkan peranan
pengalaman pengarang.
2. Karya : penelitian terhadap aspekaspek seperti watak dan
perwatakan.
3. Pembaca : penelitian kepada kesan yang dapat diberikan oleh karya
kepada pembaca.
3.6.2 Formalistik/ Struktural
Pendekatan formalistik dianggap sebagai pendekatan yang paling lama diguna pakai oleh pengkritik di negara ini. Ia mula diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 1967/68 oleh Yahaya Ismail dalam catatannya yang berjudul ‘Kesusasteraan Moden dalam Esei dan Kritik’. Namun begitu, kaedah yang digunakannya ternyata mengelirukan dan hasil kritikannya tidak kuat dan mendalam kerana mengadunkan pelbagai pendekatan lain seperti biografi, sosiologi dan moral tidak seperti fahaman formalistik Barat.
Menurut Rahman Shaari, pendekatan formalistik ialah “kritikan yang menilai aspek demi aspek karya. Pembicaraan terhadap sesebuah novel akan menyentuh aspek tema, plot, perwatakan, gaya bahasa dan lain-lain. Hal ini dapat dilihat dalam pembicaraan cerpen begitu juga dengan puisi. Ia akan menyentuh aspek-aspek seperti tema, gaya bahasa, bentuk, bunyi dan sebagainya.” (Nur Naemah Ibrahim. (2006). Sejarah & Kritikan Sastera STPM, hal. 306 )
Mengikut Yahaya Ismail, pendekatan ini juga disebut ontological criticism. Hashim Awang tidak menyebutnya pendekatan formalistik, tetapi sebagai pendekatan struktur. (Rahman Shaari. (1988). Kritikan Sastera Melayu; Pendekatan dan Pemikiran, hal. 39)
Hashim Awang pula mengatakan bahawa ‘maksud strukturalisme ini menjadi lebih jelas dan mudah apabila ia dilihat secara khusus pada kata dasarnya, iaitu struktur. ‘Struktur’ ialah kaitan antara elemen-elemen. Kaitan-kaitan tersebut ditimbulkan oleh seseorang peneliti hasil dari pengamatannya. Kaitan atau hubungan inilah yang pada dasarnya akan memberi penentuan dan penjelasan tentang sebarang objek yang dikaji.” (Hashim Awang. (2005). Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan, hal. 86)
Pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan ‘textbook’ yang memberi tumpuan terhadap latar, gaya bahasa, nada, plot, tema dan sebagainya dalam karya seperti novel, drama dan cerpen. Manakala dalam karya berbentuk puisi pula, tumpuan diberi kepada rentak, gaya bahasa, struktur dan seumpamanya yang dinilai serta dihurai. Pendekatan ini menekankan aspek dalaman (intrinsik).

Ciri-ciri pendekatan formalistik/ struktural ialah;
a. Kritikan moden; karya yang dikaji berasaskan kritikan sastera moden.
b. Pembacaan teliti; sesebuah karya dapat dianalisa setelah pengkritik benar-benar memahami dan menghayati karya tersebut.
c. Penganalisisan struktur; pendekatan ini menekankan penganalisisan terhadap struktur atau unsur-unsur yang membina sesebuah karya seperti plot, tema, perwatakan, latar dan sebagainya.
d. Kognitif; antara kemahiran kognitif yang ditekankan ialah kemahiran kefahaman kerana untuk mengkritik sesebuah karya, pengkritik harus mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap karya itu terutama mengenai unsur yang membina karya.
e. Deskriptif; selain dari menekankan aspek kefahaman, pendekatan ini juga memberatkan latihan menghurai dan menganalisis.

Pendekatan ini juga boleh dinilai terhadap satu aspek sahaja. Misalnya, Hashim Awang dalam satu tulisan kritikannya hanya menilai aspek plot sahaja dalam novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer. Beliau telah membahagikan plot dalam novel tersebut kepada tujuh peringkat perkembangan iaitu permulaan, pertikaian dan perumitan, perkembangan, klimaks, tegangan akhir dan peleraian. Beliau juga telah mengatakan bahawa Pramoedya Ananta Toer telah membawa pembaharuan dalam pembinaan plot novel Keluarga Gerilya.
Contoh lain ialah tulisan Mohd. Affandi Hassan mengenai novel “Seroja Masih Di Kolam” karya Adibah Amin. Beliau melihat kepada aspek watak dan berpendapat bahawa novel tersebut sangat lemah kerana watak-wataknya terdiri daripada golongan remaja. (Zainon S. Ahmad. (2008). Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, hal. 360)
Ramli Isin juga banyak menggunakan pendekatan formalistik dalam tulisannya seperti aspek plot, tema dan perwatakan. Contoh, beliau melihat aspek plot dan tema serta persoalan dalam novel “Lingkaran” karya Arena Wati sebagai sangat baik dan kemas penstrukturannya dan menganggap novel tersebut berjaya.

Bab 4: Hasilan Sastera

“Terima kasih cikgu”

Tidak lagi kutemui insan sepertimu,
Biarpun laut kurenangi,
Biarpun lurah dan gunung kuredahi,
Jiwa mulusmu ditatahi permata budimu,
Bahtera hidupmu dinakhodai kelasi baktimu.

Di kebun kecil ini,
Aku mengerti hakikat sebenar kehidupan,
Yang mendambakan seribu pengorbanan,
Kepayahan, kesungguhan dan keazaman,
Biarpun mentari bersinar di siang hari,
Atau rembulan menerangi kelam malam,
Kau teguh di sana menabur bakti.

Biar di kota mahupun desa,
Sekalipun destinasi nun jauh di pedalaman
Merentas belantara dan paya,
Kau redah dengan tabah,
Biar kasut digendong kitab dijunjung,
Engkau tetap setia sebagai penderma ilmu.

Kau insan mulia yang tiada rasa jemu,
Menaburkan jasa kepadaku,
Agar aku bisa menongkah arus kehidupan,
Yang penuh onak dan duri,
Yang menjanjikan suka dan duka,
Kau tetap gigih menabur mutiara ilmumu padaku,
Walau keringatmu semakin hari semakin tua.

Kau telah berikan aku lautan baktimu,
Suapkan aku dengan gedung pengetahuan,
Agar suatu hari nanti,
Aku bisa berdiri sendiri atau mungkin mengikut jejakmu.
Sudahkan takdir hari ini telah terbukti,
Aku berterima kasih padamu cikgu,
Si polan juga berterima kasih cikgu padaku.

Bab 5: Kesimpulan
Kaedah bacaan intensif dan ekstensif sememangnya mempunyai peranan yang berbeza untuk diaplikasikan kepada murid kerana ia melibatkan penguasaan bahasa oleh pelajar itu sendiri di samping tahap mentaliti mereka. Secara tuntasnya, kaedah bacaan intensif ialah bacaan yang giat di bawah bimbingan seseorang dalam mengenali dan meneliti bahan bacaan untuk perkembangan meningkatkan tahap kelancaran membaca. Manakala, bacaan ekstensif pula ialah bacaan yang lebih luas tanpa bimbingan orang lain. Pada tahap ini, guru hanya bertindak sebagai tutor supaya murid tidak tersasar dalam proses memahami dan meneliti isi penting bacaan.
Kritikan sastera melalui pendekatan sosiologi atau kemasyarakatan merupakan kritikan yang memerlukan pengkritik berfikiran luas kerana pendekatan ini lebih berpengaruh berbanding dengan pendekatan yang lain. Ia lebih dekat dengan pembaca kerana pembaca juga merupakan sebahagian daripada masyrakat. Manakala kritikan secara formalistik atau struktural pula ialah kritikan yang lebih kepada penekanan struktur yang membina sesebuah karya seperti tema dan persoalan, plot, watak dan perwatakan dan sebagainya.
Melalui tugasan ini, sedikit-sebanyak ia membantu meningkatkan pengetahuan para pelajar institut ini (yang terlibat dengan tugasan ini) mengenai pelbagai input berguna untuk diadaptasi pada masa akan datang. Ilmu-ilmu seperti kritikan sastera sebenarnya boleh diguna pakai dan sangat dekat dengan diri kita kerana setiap manusia pastinya mempunyai pandangan yang berbeza-beza terhadap perbuatan orang lain sama ada berbentuk penulisan atau tindakan. Semoga tugasan ini dapat membantu para pelajar supaya menjadi guru yang berkualiti pada masa hadapan.





Rujukan
1. Buku-buku
1.1 Hajah Noresah bt. Baharom, ket. Ed. (2007). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.2 Hashim Awang. (2006). Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.3 Hashim Awang. (2003). Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.4 Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dan Arb’ie b. Sujud. (1997). Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
1.5 Nur Naemah Ibrahim. (2006). Sejarah & Kritikan Sastera STPM, Selangor: SNP Panpac (M) Sdn. Bhd.
1.6 Rahman Shaari. (1988). Kritikan Sastera Melayu; Pendekatan dan Pemikiran, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.7 Zainon S. Ahmad. (2008). Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, Selangor: Crescent News Bhd.
1.8 Zainon S. Ahmad. (2005). Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Media Trade.
2. Modul Pegajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu 2, Kemahiran Berbahasa dan Kesusasteraan Melayu, Jabatan Pengajian Melayu IPGM Kampus Darulaman
3. Nota Pensyarah (Encik Abdull Manaf bin Ahmad)

No comments:

Post a Comment