RSS

Saturday, November 7, 2009

Kerja Kursus BM 2 (Kemahiran Berbahasa dan Kesusasteraan Melayu) PPISMP Sem.2

Bab 2: Kemahiran Membaca

2.1 Konsep Kemahiran Membaca

Tuntutan terhadap kepentingan membaca bermula pada zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi di mana Malaikat Jibril menyampaikan wahyu pertama kepada baginda yang berbunyi “Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah-darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-Alaq:ayat 1-5)
Beberapa orang tokoh telah mentafsirkan makna membaca antaranya Harris dan Sipay (1980) mengatakan “membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis.”
Takrif membaca menurut Smith dan Johson (1980) ialah “membaca berteraskan keinginan mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh pembaca.”
Goodman (1973) pula mentakrifkan membaca sebagai proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda. (Sumber: Modul Pengajaran dan Pembelajaran BM 2, Jabatan Pengajian Melayu IPGM Kampus Darulaman, hal. 17)
Pumfrey (1977) berpendapat “membaca bukan hanya bersifat mekanik, iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan tentang sesuatu yang dibaca tetapi lebih jauh daripada itu. Ia merupakan proses pemikiran yang membina”. (Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dan Arb’ie b. Sujud. (1997). Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, hal. 233)
2.2 Bacaan Intensif
Bacaan intensif bermaksud kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama. Bacaan ini dibaca secara lebih giat, hebat dan bersungguh-sungguh. Ia melibatkan penelitian yang lebih terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang terlibat dengan bacaan intensif adalah membaca telaah isi dan telaah bahasa. Telaah isi menekankan penelitian, pemahaman, membaca kritis dan membaca idea manakala telaah bahasa pula menekankan aspek-aspek yang berkaitan bahasa.
Bacaan intensif merupakan peringkat bacaan yang membolehkan para pelajar mengembangkan beberapa kebolehan, antaranya ialah kebolehan meneliti bahan bacaan dari segi penggunaan kosa kata, tatabahasa, kata kerja dan sebagainya. Bacaan intensif juga melatih pelajar memahami dan mentafsir sesuatu bacaan dengan cepat dan tepat. Selain itu, bacaan intensif juga melatih pelajar dalam usaha mendapatkan maklumat secara terperinci. Kemahiran-kemahiran sangat berguna kepada guru bahasa terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

2.1.1 Konsep bacaan intensif

Bacaan intensif ialah proses bacaan yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa di bawah bimbingan guru dan ia menjadi asas kepada guru untuk membuat penjelasan dan ulasan lanjut mengenai struktur yang sukar dan juga memberi asas untuk memperkembangkan perbendaharaan kata kepada murid agar mereka tidak ketinggalan dalam memperoleh kemahiran membaca secara efektif.
Pada peringkat bacaan ini, guru harus bijak mengatur strategi sama ada melatih membaca dengan kaedah gerak laju, tetapi pelajar masih mampu mengikut aktiviti membaca tersebut atau memberi pelbagai latihan yang berlainan. Semasa melakukan bacaan intensif, kaitkan dengan aktiviti mengkaji ciri-ciri kajian tatabahasa, iaitu susunan kata dalam ayat dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya.

2.1.2 Tujuan bacaan intensif

Tujuan bacaan intensif dilakukan ialah bagi membolehkan kanak-kanak membaca dengan betul dari segi intonasi, sebutan, kelancaran dan cekap mengenali tanda-tanda bacaan. Selain itu, ia bertujuan mengembangkan kebolehan mentafsir isi kandungan bahan bacaan. Bacaan intensif membolehkan pelajar mengenal pasti laras bahasa yang betul mengikut teks bacaan yang diperoleh sama ada perlu mengikut laras agama, berita, iklan dan sebagainya.
Disamping itu, dapat melatih kanak-kanak mendapatkan maklumat dengan lebih teliti dan terperinci serta dapat membuat kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya. Tujuan bacaan intensif juga bagi melatih pelajar mengesan, memaham dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa dan melatih membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.

2.1.3 Keperluan dan cara melakukan bacaan intensif

Bacaan intensif memerlukan pelajar supaya memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap proses bacaan secara intensif. Bahan-bahan bacaan intensif boleh dibincangkan bersama guru bahasa dan pelajar dalam kelas, kadang-kadang dianalisa dan seterusnya dijadikan asas untuk latihan-latihan menulis.
Selain itu, pada peringkat ini ia memerlukan ketekunan yang tinggi dalam menajamkan penguasaaan dalam meneliti, memahami dan mentafsir bahan bacaan dan ia juga memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan makna. Para pelajar patut dibenarkan menggunakan kamus atau sebuah buku teks rujukan tatabahasa.
Aktiviti-aktiviti bacaan secara intensif hendaklah dipelbagaikan setiap hari supaya murid tidak bosan dan jemu dengan proses bacaan yang dilakukan dan segala kajian harus dilakukan secara mendalam.


2.2 Bacaan Ekstensif

Bacaan ekstensif bermaksud kegiatan membaca secara luas/luar. Bacaan intensif merupakan proses bacaan yang dilakukan di luar kelas. Ia dilakukan dalam pelbagai bentuk sama ada membaca di luar kelas secara individu atau secara berkumpulan. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan bacaan ekstensif adalah memahami isi-isi penting bahan bacaan dengan cepat dan menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Pada peringkat ini juga, ia menitik beratkan aspek pengukuhan bacaan, tingkat kepantasan membaca dan minat yang tinggi untuk membaca. Biasanya ia melibatkan perkara-perkara berikut:

a) Membaca tinjauan
b) Membaca sekilas
c) Membaca dangkal

Membaca tinjauan dilakukan sebelum memulakan sesuatu bacaan. Menjadi kebiasaan, kita akan meneliti secara kasar terlebih dahulu sebelum memulakan bacaan secara terperinci. Hal ini melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan mendaftar kata yang terdapat dalam bahan bacaan.

Membaca sekilas adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat dalam penglihatan dan juga mendapatkan maklumat serta penerangan. Terdapat tiga tujuan utama membaca sekilas iaitu untuk memperoleh suatu kesan umum daripada isi kandungan bahan bacaan, menemukan hal-hal tertentu dalam bahan bacaan dan menemukan bahan bacaan daripada perpustakaan.
Membaca dangkal adalah bertujuan mendapatkan pemahaman secara dangkal yang bersifat luaran. Proses bacaan secara dangkal ini dilakukan secara santai tetapi menyenangkan.


2.2.1 Konsep bacaan ekstensif

Bacaan ekstensif merupakan kegiatan membaca yang dilakukan di luar bilik darjah tanpa bimbingan guru dan bahan bacaannya lebih luas dan bahan bacaannya berbeza-beza mengikut kesesuaian kepada pelajar dari segi perbendaharaan kata juga minat, umur, jantina, pengalaman dan cita-cita pelajar itu.. Bacaan ekstensif mengandaikan bahawa pelajar membaca sesuatu bahan tanpa menghadapi kesukaran dan seberapa yang mungkin dengan perasaan puas, seronok dan terhibur.
2.2.2 Tujuan bacaan ekstensif
Bacaan ekstensif bertujuan melatih pelajar membaca menggunakan cara yang tersendiri yang mudah baginya untuk memahami isi kandungan bahan bacaan tanpa bimbingan secara langsung dari orang lain. Ia juga bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa dan mendedahkan pelbagai laras bahasa kepada pelajar.
Selain itu, ia bertujuan mempertingkatkan mutu bacaan (fasih) disamping memupuk minat membaca dalam diri pelajar. Bacaan ekstensif juga bertujuan meningkatkan daya kreativiti yang tersimpan dalam diri pelajar terutama bagi mereka yang cerdas. Ia juga bagi memperkaya bahasa dan perbendaharaan kata, struktur ayat dan lain-lain juga membolehkan mereka memperoleh pengetahuan di samping dapat pula menghiburkan hati.










2.2.3 Keperluan dan teknik pengajaran bacaan ekstensif
Oleh sebab pelajar membaca tanpa bimbingan guru sepanjang masa, peranan pengajar ialah melatih mereka dengan teknik yang betul iaitu;
i. Mengkaji kandungan bahan bacaan. Pelajar mengkaji dahulu secara umum kandungan bahan kemudian cuba dapatkan tema atau persoalan pokok bahan tersebut.
ii. Membuat soalan berdasarkan kandungan bahan bacaan yang dipilih oleh pelajar. Ini akan membantu pelajar tersebut membaca dengan lebih mendalam.
iii. Menerangkan kepada pelajar tentang bagaimana memperoleh isi-isi penting dalam bacaan dan pada akhirnya pelajar membuat kesimpulan terhadap bahan bacaan.
iv. Mengkaji semula seluruh bacaan ekstensifnya setelah selesai membaca supaya dapat memastikan dia tidak tertinggal isi-isi penting.
v. Meminta pelajar membuat laporan bertulis tentang apa yang telah dibacanya dan mengemukakan laporan itu secara lisan kepada kelas sebagai maklum balas daripada hasil bacaannya.









Bab 3: Kritikan Sastera

3.1 PENGENALAN

Tanggapan Awal (Tahun 1930-an)

Kritikan sastera Melayu bermula sekitar pertengahan tahun 30-an. Kritikan sastera atau “literary criticism” ialah kegiatan memerikan, mempertimbangkan, menganalisis atau menilai karya seni. Kegiatan kritikan bukanlah bererti hanya mencari kesalahan tetapi kritikan yang baik menjelaskan kedua-dua sifat baik dan buruk, membuat pertimbangan baik buruknya dan diikuti dengan penilaian yang matang dan mantap.” (Hashim Awang (1987), Glosari Mini Kesusasteraan Melayu, Kuala Lumpur: Fajar Bakti,, hal. 52-53)

Pendefinisian awal istilah kritikan sastera di Malaysia, kita merujuk kepada pendapat Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam kertas kerjanya yang berjudul, “Latar Belakang kepada Aliran-aliran Mutakhir dalam Bahasa Malaysia: Satu Tinjauan Tradisi Kritikan” yang mengatakan; “Kritikan sastera di Malaysia hendaklah mengambil kira tulisan-tulisan yang ringan seperti yang terdapat di beberapa majalah dan akhbar” (Zainon S. Ahmad (2005), Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Media Trade, hal. 352)

Dengan pengertian yang dibuat Ungku Maimunah Mohd Tahir itu, Rahman Shaari telah berpendapat bahawa hasil tulisan sastera yang dihasilkan era 30-an, 40-an dan 50-an turut diambil kira.

Tulisan-tulisan yang dihasilkan pada awal 30-an lebih berkisarkan kepada pandangan dan pemujaan terhadap tokoh tertentu seperti esei yang berjudul ‘Ulasan Tun Sri Lanang dan Abdullah Munsyi”, karya Keris Melayu dan juga “Kita dan Abdullah Munsyi”, karya Anak Negeri. Tulisan mereka dianggap sebagai tulisan kritikan kerana analisis yang dibuat mengikut kemampuan serta tahap ilmiah penulis pada ketika itu. Namun, kritikan tersebut mampu mendalami dan mengupas isu-isu tersirat.

3.2 DEFINISI

Pelbagai pengertian diberi mengenai definisi kritikan sastera berdasarkan pendapat dan pandangan masing-masing tokoh dan penulis. Namun setiap definisi yang diberikan mempunyai hujah-hujah yang tersendiri.

Kritikan sastera menurut Wong Seng Tong (1935-1955) ialah “segala pandangan, fikiran, cita-cita dan perasaan yang ada kena-mengena dengan seni sastera Melayu. Reaksi terhadapnya yang hampir keseluruhan dimanifestasi melalui pelbagai makalah sastera yang termuat dalam berbagai jenis majalah dan surat khabar Melayu.” (Dipetik daripada Modul Pegajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu 2, Jabatan Pengajian Melayu IPGM Kampus Darulaman hal. 51)
Pengertian kritikan sastera menurut pandangan sdr. Rahman Shaari bermaksud, “……tulisan-tulisan tentang sastera yang mengandungi penilaian sama ada menggunakan pendekatan tertentu ataupun tidak…..tulisan yang berupa reaksi terhadap karya sastera. Reaksi tersebut mungkin sepintas lalu sahaja, dan mungkin juga amat serius dan penuh kesungguhan.” (Zainon S. Ahmad, Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, Crescent News, 2008, hal. 333)

Ali Ahmad pula berpendapat kritikan sastera ialah; “menilai, memuji, menunjukkan kesalahan, membanding dan menikmati.” (Zainon S. Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Trade Indah, 2005, hal. 353).
Kritikan sastera bagi pandangan Hashim Awang ialah; “Suatu wacana budaya mengolah pandangan, pendapat, pemikiran atau gagasan yang timbul daripada usaha-usaha menilai, mempertimbang dan menganalisis suatu penghasilan budaya berupa karya sastera.” (Zainon S. Ahamad, Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Trade Indah, 2005, hal. 354).



3.3 KESIMPULAN DEFINISI

Jika diteliti kepada pendapat para sasterawan, tokoh bahasa dan ahli sarjana, kritikan sastera boleh disimpulkan sebagai satu proses yang berlaku bukan bertujuan menjatuhkan karya seseorang tetapi terdapat juga kritikan secara memuji, menilai, mencari kesalahan dan menganalisis. Kritikan secara mencari kesalahan yang dilakukan sesetengah pengkritik sastera bukan semata-mata mencari kesalahan dalam sesebuah karya tersebut tetapi sebenarnya ia dapat membantu meningkatkan mutu penghasilan karya penulis pada masa akan datang disamping mendekatkan diri pengkritik atau pembaca dengan karya tersebut.

3.4 FUNGSI KRITIKAN SASTERA

Berdasarkan kajian Zainon S. Ahmad (2007) dalam bukunya Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, Ilmu Trade Indah, hal. 352 telah merumuskan 10 fungsi kritikan sastera berdasarkan pendapat para sarjana sastera iaitu;
Fungsi untuk mencungkil aspek-aspek penting sesebuah karya. Pengkritik berupaya mencungkil aspek-aspek kewajaran atau sebaliknya dalam sesebuah karya. Kritikan yang dibuat bukan bertujuan mencari kelemahan semata-mata tetapi kritikan yang dibuat memperlihatkan kemampuan pengkritik mencari aspek-aspek penting karya yang dikritik dan secara tidak langsung ia mendekatkan pembaca dengan karya-karya sastera tertentu.
Berfungsi sebagai pencetus pemikiran. Idea-idea yang timbul berdasarkan kritikan yang dibuat oleh pengkritik berupaya menggerakkan pemikiran pembaca dan pengarang dan dijadikan bahan pemikiran dari satu zaman ke zaman. Di sinilah berlakunya penyaringan idea-idea sama ada idea atau pemikiran dahulu masih boleh diguna pakai atau sebaliknya. Proses menolak atau menerima idea ini akan membawa kepada satu perbincangan yang seterusnya memberi kesan mencetuskan pemikiran.


Fungsi dalam mempengaruhi genre kesusasteraan seterusnya. Perbincangan, polemik, penilaian dan sebagainya yang dihasilkan pengkritik sebenarnya telah memberi kesan terhadap genre penulisan seterusnya. Buktinya, sekitar tahun 50-an kegiatan Kritikus Asas 50 telah mempengaruhi penulisan sajak dan cerpen ketika itu.
Berfungsi menapis karya sedia ada dan mencorak karya akan datang. Penapisan dibuat berdasarkan penilaian baik buruknya dengan hujah-hujah daripada pelbagai bidang ilmudan pelbagai kecenderungan selera pembaca. Corak karya masa depan didorong oleh saranan-saranan dan pandangan yang matang.
Menyedar dan menggerakkan pengarang supaya memberi nafas baru dalam karya dan menyedarkan ke mana arah tuju sastera akan datang. Kritkan dapat mengingatkan penulis supaya melakukan pembaharuan jika ingin melihat kemajuan bidang kesusasteraan. Selain itu, kritikan sastera dapat memberi kesan kepada kedudukan karya.
Menjadi pendorong sesuatu aliran baru dan stail penulisan karya. Ia akan terlaksana jika penulis atau pengkarya bersikap positif dan sensitif terhadap kritikan yang dibuat kepada karyanya.
Kritikan sastera juga berfungsi memahami, mendekati, menganalisis serta mengkritik objek atau bahan kajian seperti karya. Apabila terdapat usaha mengkritik dan menganalisa terhadap sesebuah karya secara tidak langsung ia mendekatkan diri pengkritik dengan karya yang dikritiknya.
Berfungsi menyemarakkan suasana intelektual sesuatu zaman. Ia memberi kesan kepada kecerdasan dalam pemikiran yang lebih kreatif dan kritis.
Kritikan sastera juga berfungsi untuk menganalisis, menghurai, mengkritik dan menilai karya-karya sastera. Ia akan mendorong kepada perkembangan penulis dan penulisan umumnya.


3.5 CIRI-CIRI KRITIKAN SASTERA

Terdapat enam ciri-ciri kritikan sastera iaitu;
1. Sanjungan

Ciri kritikan secara sanjungan ialah tulisan yang kritikan yang memuji karya dan terdapat juga tulisan kritikan yang memuji pengarang. Ia menampilkan elemen-elemen yang menunjukkan bahawa karya tersebut baik dan menarik.
Contoh tulisan;
“Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi” (Majalah Guru, 1 Julai, 1935).

Isi sanjungan yang terdapat dalam karya tersebut ialah tentang ketokohan, kebijaksanaan dan kepahlawanan watak-watak seperti Bendahara Seri Maharaja, Hang Tuah dan Tun Perak. Selain itu, terdapat pujian yang diberikan kepada keindahan yang dipakai oleh Tun Seri Lanang sebagai “bahasa Melayu asli, jelas serta sedap.”

2. Teguran

Ciri yang dikatakan teguran ialah mengkritik serta memberi peringatan secara ikhlas dan menyatakan keistimewaan, kekuatan serta kelemahan sesebuah teks.
Contoh tulisan;
Tulisan kritikan begitu “Pandangan seorang Penuntut Tinggi kita tentang sebuah buku Melayu.” (Tulisan Aminuddin Baki tentang novel Korban Kesucian karya Keris Mas) dalam Utusan Zaman, 12 Jun 1949)

Isi teguran ialah mengenai gaya bahasa yang digunakan Keris Mas yang terlalu dipengaruhi oleh bahasa Inggeris.

3. Saranan

Tulisan yang mengandungi anjuran iaitu sesuatu yang disarankan untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan sesebuah karya dengan tujuan memantapkan unsur-unsur yang membina karya tersebut melalui cadangan-cadangan dan nilai-nilai yang positif. Terdapat juga saranan berbentuk propaganda, di mana ia pernah berlaku sekitar era 50-an iaitu polemik yang berlaku antara ahli-ahli ASAS 50.
Contoh tulisan;
(a) “Seni untuk seni” oleh Hamzah. Tulisannya menekankan karya sastera seharusnya mempunyai fungsi menghibur dan mendidik.

(b)”Seni untuk masyarakat” oleh Asraf. Tulisannya menekankan perutusan, pengajaran dan memberi kesedaran kepada masyarakat. Beliau mengutamakan fungsi sosial.

4. Pendekatan

Cara mendekati sesuatu dengan membuat pertimbangan dan penilaian menggunakan sesuatu landas tertentu. Pendekatan-pendekatan yang terdapat dalam kritikan sastera ialah formalistik, moral/ agama, psikologi, sosiologi dan keindahan.

5. Penganalisisan

Merupakan tulisan kritikan yang menyelidik sesebuah karya secara terperinci dan mendalam. Perincian dari segi bahasa, motif, citra, watak dan sebagainya. Ia juga mengenai kepengarangan berdasarkan teori-teori tertentu. Pengkritik perlu menguasai bidang dan teori yang ingin diaplikasikan serta memiliki ilmu bantu yang relevan.


6. Penilaian

Tulisan kritikan yang menentukan mutu sesebuah karya sama ada mempunyai keistimewaan atau tidak. Ia memerlukan kebijaksanaan pengkritik untuk mendapatkan keadilan dan saksama dalam penilaian yang dibuat. Ciri-ciri yang perlu ada pada pengkritik antaranya ialah;
(a) mempunyai pengetahuan luas mengenai banyak aspek yang selalu
diguna pakai oleh penulis dalam penghasilan karya.
(b) tidak boleh bersikap berat sebelah, bias atau sikap negatif lain.
(c) bersikap jujur dengan mengemukakan kekuatan dan kelemahan karya
atau pengarang serta mengemukakan saranan jika ada.





















3.6 JENIS-JENIS KRITIKAN SASTERA

3.6.1 Sosiologi/ Kemasyarakatan

Pendekatan sosiologi menurut Mohd Yusof Hasan bererti “menghubung kaitkan hasil-hasil karya itu dengan masyarakat”. (Zainon S. Ahmad. (2005). Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, hal. 404). Pada umumnya, kritikan jenis ini sesuai untuk novel dan cerpen. Pemikiran melalui pendekatan sosiologi yang agak mantap telah dimulakan oleh penulis-penulis esei tahun 50-an, terutaman Asraf dan Hamzah.
Asraf mendukung konsep “Seni untuk masyarakat” manakala Hamzah pula mendukung konsep “ Seni untuk seni”. Walau bagaimanapun, konsep yang didukung oleh Asraf dilihat lebih bertenaga dari segi pemikirannya. Asraf berjaya mengemukakan betapa perlunya penulis menganut fahaman yang menyokong kebangkitan dan membela nasib rakyat yang tertindas. Juga membicarakan konsep realisme serta menggunakan istilah borjuis dan protelar.
Menurut Zainon S. Ahmad (2008), dalam bukunya Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, mengatakan bahawa pendekatan sosiologi bertolak dari pandangan bahawa sastera merupakan cermin kehidupan masyarakat atau bayangan kehidupan sosial sesebuah masyarakat. Ia timbul disebabkan hakikat bahawa pengarang;
a) Ahli masyarakat dan mendapat pengaruh masyarakat. Pengarang menjadikan kehidupan masyarakat sebagai sumber atau aspirasi untuk berkarya.
b) Pengarang merakamkan kehidupan masyarakat dalam karya dengan bertindak mengikut apa yang diketahui dan dekat dengannya.
c) Pengarang menyusun rentetan pengalaman kehidupan masyarakat, difahami, direnungi, difikir dan diimaginasikan dalam bentuk tulisan.
d) Pengarang tidak akan terlepas daripada nilai budaya, politik dan ekonomi sesebuah masyarakat.
e) Pengarang menokok tambah dalam karya-karya tentang kehidupan masyarakat yang dibawa masuk dalam karya. Ini bermaksud, isu kehidupan diubahsuai mengikut kehendak pengarang.
Berdasarkan perkara yang dibincangkan di atas, ternyata kesusasteraan Melayu sangat berhubung kai dengan pendekatan kemasyarakatan. Antara pengkritik sastera yang sering menggunakan pendekatan ini ialah Kassim Ahmad, Pena Patriot, Yahaya Ismail dan Ismail Hussein.
Tulisan Kassim Ahmad menurut Rahman Shaari, pendekatan sosiologi yang digunakannya berteraskan aliran realisme sosialis. Contoh tulisan kritikanKassim Ahmad terhadap beberapa novel antaranya;
a) Novel ‘Jalan Pulang’ oleh Anas K. Hadimaja. Menurut Kassim Ahmad, latar belakang sejarah tidak penting dalam novel ini kerana cerita tersebut boleh berlaku pada akhir abad ke-19 atau sepanjang abad ke-20. Dan;
b) Novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad. Beliau membuat penilaian negatif degan mengatakan novel tersebut menemui kegagalan keran penulisnya tidak memahami hakikat mengenai keadaan manusia dan destinasinya yang agung.
Sosiologi juga menyentuh soal-soal yang berhubungan dengan perubahan masyarakat, baik secara beransur atau mengenjut seperti revolusi, dari suatu jenis masyarakat kepada jenis yang lain; misalnya dari feudalisme kepada kapitalisme. Ia juga melihat persoalan dalaman yang kecil seperti hal-hal konflik antara kelas, kumpulan dan sebagainya. Unsur-unsur yang ditekankan dalam pendekatan sosiologi ialah;
1. Pengarang : memberi tumpuan untuk menunjukkan peranan
pengalaman pengarang.
2. Karya : penelitian terhadap aspekaspek seperti watak dan
perwatakan.
3. Pembaca : penelitian kepada kesan yang dapat diberikan oleh karya
kepada pembaca.
3.6.2 Formalistik/ Struktural
Pendekatan formalistik dianggap sebagai pendekatan yang paling lama diguna pakai oleh pengkritik di negara ini. Ia mula diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 1967/68 oleh Yahaya Ismail dalam catatannya yang berjudul ‘Kesusasteraan Moden dalam Esei dan Kritik’. Namun begitu, kaedah yang digunakannya ternyata mengelirukan dan hasil kritikannya tidak kuat dan mendalam kerana mengadunkan pelbagai pendekatan lain seperti biografi, sosiologi dan moral tidak seperti fahaman formalistik Barat.
Menurut Rahman Shaari, pendekatan formalistik ialah “kritikan yang menilai aspek demi aspek karya. Pembicaraan terhadap sesebuah novel akan menyentuh aspek tema, plot, perwatakan, gaya bahasa dan lain-lain. Hal ini dapat dilihat dalam pembicaraan cerpen begitu juga dengan puisi. Ia akan menyentuh aspek-aspek seperti tema, gaya bahasa, bentuk, bunyi dan sebagainya.” (Nur Naemah Ibrahim. (2006). Sejarah & Kritikan Sastera STPM, hal. 306 )
Mengikut Yahaya Ismail, pendekatan ini juga disebut ontological criticism. Hashim Awang tidak menyebutnya pendekatan formalistik, tetapi sebagai pendekatan struktur. (Rahman Shaari. (1988). Kritikan Sastera Melayu; Pendekatan dan Pemikiran, hal. 39)
Hashim Awang pula mengatakan bahawa ‘maksud strukturalisme ini menjadi lebih jelas dan mudah apabila ia dilihat secara khusus pada kata dasarnya, iaitu struktur. ‘Struktur’ ialah kaitan antara elemen-elemen. Kaitan-kaitan tersebut ditimbulkan oleh seseorang peneliti hasil dari pengamatannya. Kaitan atau hubungan inilah yang pada dasarnya akan memberi penentuan dan penjelasan tentang sebarang objek yang dikaji.” (Hashim Awang. (2005). Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan, hal. 86)
Pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan ‘textbook’ yang memberi tumpuan terhadap latar, gaya bahasa, nada, plot, tema dan sebagainya dalam karya seperti novel, drama dan cerpen. Manakala dalam karya berbentuk puisi pula, tumpuan diberi kepada rentak, gaya bahasa, struktur dan seumpamanya yang dinilai serta dihurai. Pendekatan ini menekankan aspek dalaman (intrinsik).

Ciri-ciri pendekatan formalistik/ struktural ialah;
a. Kritikan moden; karya yang dikaji berasaskan kritikan sastera moden.
b. Pembacaan teliti; sesebuah karya dapat dianalisa setelah pengkritik benar-benar memahami dan menghayati karya tersebut.
c. Penganalisisan struktur; pendekatan ini menekankan penganalisisan terhadap struktur atau unsur-unsur yang membina sesebuah karya seperti plot, tema, perwatakan, latar dan sebagainya.
d. Kognitif; antara kemahiran kognitif yang ditekankan ialah kemahiran kefahaman kerana untuk mengkritik sesebuah karya, pengkritik harus mempunyai kefahaman yang mendalam terhadap karya itu terutama mengenai unsur yang membina karya.
e. Deskriptif; selain dari menekankan aspek kefahaman, pendekatan ini juga memberatkan latihan menghurai dan menganalisis.

Pendekatan ini juga boleh dinilai terhadap satu aspek sahaja. Misalnya, Hashim Awang dalam satu tulisan kritikannya hanya menilai aspek plot sahaja dalam novel Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer. Beliau telah membahagikan plot dalam novel tersebut kepada tujuh peringkat perkembangan iaitu permulaan, pertikaian dan perumitan, perkembangan, klimaks, tegangan akhir dan peleraian. Beliau juga telah mengatakan bahawa Pramoedya Ananta Toer telah membawa pembaharuan dalam pembinaan plot novel Keluarga Gerilya.
Contoh lain ialah tulisan Mohd. Affandi Hassan mengenai novel “Seroja Masih Di Kolam” karya Adibah Amin. Beliau melihat kepada aspek watak dan berpendapat bahawa novel tersebut sangat lemah kerana watak-wataknya terdiri daripada golongan remaja. (Zainon S. Ahmad. (2008). Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, hal. 360)
Ramli Isin juga banyak menggunakan pendekatan formalistik dalam tulisannya seperti aspek plot, tema dan perwatakan. Contoh, beliau melihat aspek plot dan tema serta persoalan dalam novel “Lingkaran” karya Arena Wati sebagai sangat baik dan kemas penstrukturannya dan menganggap novel tersebut berjaya.

Bab 4: Hasilan Sastera

“Terima kasih cikgu”

Tidak lagi kutemui insan sepertimu,
Biarpun laut kurenangi,
Biarpun lurah dan gunung kuredahi,
Jiwa mulusmu ditatahi permata budimu,
Bahtera hidupmu dinakhodai kelasi baktimu.

Di kebun kecil ini,
Aku mengerti hakikat sebenar kehidupan,
Yang mendambakan seribu pengorbanan,
Kepayahan, kesungguhan dan keazaman,
Biarpun mentari bersinar di siang hari,
Atau rembulan menerangi kelam malam,
Kau teguh di sana menabur bakti.

Biar di kota mahupun desa,
Sekalipun destinasi nun jauh di pedalaman
Merentas belantara dan paya,
Kau redah dengan tabah,
Biar kasut digendong kitab dijunjung,
Engkau tetap setia sebagai penderma ilmu.

Kau insan mulia yang tiada rasa jemu,
Menaburkan jasa kepadaku,
Agar aku bisa menongkah arus kehidupan,
Yang penuh onak dan duri,
Yang menjanjikan suka dan duka,
Kau tetap gigih menabur mutiara ilmumu padaku,
Walau keringatmu semakin hari semakin tua.

Kau telah berikan aku lautan baktimu,
Suapkan aku dengan gedung pengetahuan,
Agar suatu hari nanti,
Aku bisa berdiri sendiri atau mungkin mengikut jejakmu.
Sudahkan takdir hari ini telah terbukti,
Aku berterima kasih padamu cikgu,
Si polan juga berterima kasih cikgu padaku.

Bab 5: Kesimpulan
Kaedah bacaan intensif dan ekstensif sememangnya mempunyai peranan yang berbeza untuk diaplikasikan kepada murid kerana ia melibatkan penguasaan bahasa oleh pelajar itu sendiri di samping tahap mentaliti mereka. Secara tuntasnya, kaedah bacaan intensif ialah bacaan yang giat di bawah bimbingan seseorang dalam mengenali dan meneliti bahan bacaan untuk perkembangan meningkatkan tahap kelancaran membaca. Manakala, bacaan ekstensif pula ialah bacaan yang lebih luas tanpa bimbingan orang lain. Pada tahap ini, guru hanya bertindak sebagai tutor supaya murid tidak tersasar dalam proses memahami dan meneliti isi penting bacaan.
Kritikan sastera melalui pendekatan sosiologi atau kemasyarakatan merupakan kritikan yang memerlukan pengkritik berfikiran luas kerana pendekatan ini lebih berpengaruh berbanding dengan pendekatan yang lain. Ia lebih dekat dengan pembaca kerana pembaca juga merupakan sebahagian daripada masyrakat. Manakala kritikan secara formalistik atau struktural pula ialah kritikan yang lebih kepada penekanan struktur yang membina sesebuah karya seperti tema dan persoalan, plot, watak dan perwatakan dan sebagainya.
Melalui tugasan ini, sedikit-sebanyak ia membantu meningkatkan pengetahuan para pelajar institut ini (yang terlibat dengan tugasan ini) mengenai pelbagai input berguna untuk diadaptasi pada masa akan datang. Ilmu-ilmu seperti kritikan sastera sebenarnya boleh diguna pakai dan sangat dekat dengan diri kita kerana setiap manusia pastinya mempunyai pandangan yang berbeza-beza terhadap perbuatan orang lain sama ada berbentuk penulisan atau tindakan. Semoga tugasan ini dapat membantu para pelajar supaya menjadi guru yang berkualiti pada masa hadapan.





Rujukan
1. Buku-buku
1.1 Hajah Noresah bt. Baharom, ket. Ed. (2007). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.2 Hashim Awang. (2006). Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.3 Hashim Awang. (2003). Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Esei Kritikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.4 Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dan Arb’ie b. Sujud. (1997). Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
1.5 Nur Naemah Ibrahim. (2006). Sejarah & Kritikan Sastera STPM, Selangor: SNP Panpac (M) Sdn. Bhd.
1.6 Rahman Shaari. (1988). Kritikan Sastera Melayu; Pendekatan dan Pemikiran, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1.7 Zainon S. Ahmad. (2008). Sastera Melayu Moden dan Kritikan Sastera STPM, Selangor: Crescent News Bhd.
1.8 Zainon S. Ahmad. (2005). Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden STPM, Selangor: Ilmu Media Trade.
2. Modul Pegajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu 2, Kemahiran Berbahasa dan Kesusasteraan Melayu, Jabatan Pengajian Melayu IPGM Kampus Darulaman
3. Nota Pensyarah (Encik Abdull Manaf bin Ahmad)

Kerja Kursus BM 1 (Analisis Penggunaan Kata Kerja) PPISMP Sem.2

Bab 2: Kata Kerja Bahasa Melayu
2.1 Konsep Kata Kerja

Menurut Prof. Dr. Asmah Hj. Omar kata kerja ialah “kata yang berfungsi pada predikat dalam ayat. Ia boleh dibahagikan kepada kata kerja leksikal dan kata kerja bantu. “ (Prof. Dr. Asmah Hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 81)

Kata kerja merupakan perkataan yang menjadi inti bagi binaan frasa kerja. Manakala unsur lain yang wujud dalam binaan frasa tersebut boleh terdiri daripada objek, pelengkap, kata bantu dan keterangan bagi menyempurnakan lagi atau mengindahkan lagi sesuatu ayat. Contoh;
i. Dia membaca novel cinta.
ii. Adik menangis dalam buaian.
iii. Rumah besar itu dibina oleh kontraktor.
iv. Dia tiba-tiba ditelan oleh keramaian orang.

Dalam frasa di atas, ‘membaca’, ‘menangis’, ‘dibina’ dan ‘ditelan’, merupakan unsur intinya, iaitu unsur yang wajib ada dalam binaan ayat tersebut. Jika unsur atau inti tersebut tiada, ayat-ayat tersebut tidak akan berfungsi atau bermakna.

Menurut nahu yang disusun Za’ba, kata kerja adalah juga disebut sebagai segala perkataan yang yang menyebut perbuatan yang dikerjakan atau keadaan yang diadakan. Namun, definisi tersebut kurang memuaskan. (Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 50)
Kata kerja bahasa Melayu tidak dapat ditentukan oleh perubahan bentuk. Oleh sebab itu, ia sudah ditegaskan bahawa penjenisan golongan kata dalam bahasa Melayu melalui tiga tahap (menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 50 - 51) iaitu;
i. Imbuhan
ii. Penanda kata
iii. Golongan kata

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 50-51
Prof. Dr. Asmah Hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 81
2.2 Penjenisan Golongan Kata Kerja

Golongan kata kerja merangkumi sejumlah perkataan yang dapat menjadi unsur inti dalam binaan frasa. (Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hal. 88). Kebanyakan sarjana menjeniskan golongan kata kerja kepada dua golongan iaitu transitif dan tak transitif.

Namun, penjenisan yang agak berbeza menurut Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Menurut penulisan mereka, dalam bahasa Melayu terdapat dua golongan kata kerja iaitu kata kerja sederhana tidak berimbuhan; dan kata kerja terbitan yang dibentuk daripada penggunaan imbuhan tertentu. (Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 51). Kata kerja sederhana adalah kata-kata yang menyatakan gerak-geri seharian, seperti;
i. Zuhairi tidur dengan nyenyak.
ii. Yati sudah pergi ke pasar.
iii. Semua pelajar duduk di atas lantai.
iv. Azmilia baru pulang dari sawah.

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz. (2008), dalam bukunya Bahasa Melayu 1 (Siri Pendidikan Guru) halaman 152, menjeniskan kata kerja kepada dua golongan iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, ia sama dengan Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 88. Dua golongan kata kerja tersebut kemudiannya terbahagi pula kepada dua lagi kategori iaitu transitif aktif dan pasif, manakala tak transitif pula ialah berpelengkap dan tanpa pelengkap.

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1998). Nahu Melayu Moden, hal. 51
Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Bahasa Melayu 1 (Siri Pendidikan Guru), hal. 152
Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hal. 88
2.2.1 Kata Kerja Transitif

Kata kerja transitif merupakan kata kerja yang memerlukan objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ia tidak boleh berdiri dengan sendirinya sebagai predikat.

Menurut Prof. Dr. Asmah Hj. Omar (1982), menyatakan bahawa kata kerja transitif adalah;
“kata kerja yang boleh diikuti oleh objek.” (Prof. Dr. Asmah hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 86)
Beliau memberi contoh;
i. Dia menulis surat
KK Objek
ii. Dia membaca buku
KK Objek
Nik Safiah Karim et al.,(2008), dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga mengatakan, kata kerja transitif ialah kata kerja yang menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek.

Objek yang digunakan dalam kata kerja transitif boleh berubah tempat menjadi subjek atau dalam erti kata lain ia boleh dipasifkan. Justeru, kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada dua bahagian seperti yang disebut oleh Siti Hajar dalam rajah di atas iaitu kata kerja transitif aktif dan kata kerja transitif pasif.

Kata kerja transitif juga dicerminkan melalui penggunaan imbuhan. Antara imbuhan yang digolongkan dalam kata kerja transitif ialah imbuhan pentransitif iaitu imbuhan yang boleh membentuk kata kerja ini. Kehadiran imbuhan tersebut berhubungan dengan bentuk kata dasar iaitu ‘awalan’ dan ‘akhiran’. Setiap daripada imbuhan yang termasuk dalam golongan pentransitif boleh berlaku bersendirian atau bergabung dengan yang lain di mana kata dasar awalan boleh bergabung dengan akhiran. Namun, bagi kedua-dua akhiran ‘kan’ dan akhiran ‘i’ tidak boleh hadir sekali atau serentak dalam satu perkataan. Contohnya bagi perkataan ‘mengatakan’, ia tidak boleh menjadi ‘mengatakani’. Oleh itu, imbuhan ini berfungsi untuk menerbitkan kata kerja transitif sama ada pasif atau aktif.

Prof. Dr. Asmah hj. Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir, hal. 86
Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, hal. 89
Kata kerja transitif aktif
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang berhubung langsung dengan penyambut atau objek (frasa/ perkataan yang bergaris) dalam predikat frasa kerja. Ia juga melibatkan dua kata nama iaitu kata nama pertama ialah pelaku kepada perbuatan dan kata nama yang kedua ialah mangsa atau yang diperlakukan/ dikenai. Kata kerja transitif aktif juga banyak menggunakan awalan ‘meN-‘, Contoh;
a) Ibu menyidai kain.
b) Dia melihat bintang.
c) Ibu membersihkan halaman rumah.
d) Dia membuang sampah.
e) Ali mencuci kereta.

Kata kerja transitif pasif
Kata kerja transitif pasif pula ialah kata kerja yang terhasil daripada proses perubahan ayat aktif kepada ayat pasif. Dalam proses inilah yang berlaku di mana objek hadir menjadi subjek dan biasanya ia menggunakan awalan ‘di’ dan perkataan ‘oleh’ seperti;
i. Kain disidai oleh ibu.
(Perkataan bergaris = Objek menjadi subjek)
ii. Bintang dilihat oleh dia.
iii. Halaman rumah dibersihkan oleh ibu.
iv. Sampah dibuang oleh dia.
v. Kereta dicuci oleh Ali.


Penggunaan imbuhan memudahkan penggolongan kata kerja transitif. Penggolongan kata kerja ini berdasarkan penggunaan imbuhan.

2.2.2 Kata Kerja Tak Transitif

Kata kerja tak transitif merupakan kata kerja yang sudah lengkap maksudnya dan ia tidak memerlukan objek atau penyambut selepasnya. Jika dinoktahkan sekali pun pada kata kerja tersebut ia masih dapat difahami dan sesuai serta tidak janggal. Kata kerja ini tidak boleh dipasifkan dan juga tidak terkena pada orang lain atau benda lain. Contoh;

i. Budak itu bernyanyi.
ii. Ibu sedang tidur.
iii. Aku amat terkilan.
iv. Aku hendak melaung.
v. Ali suka berbual.

Kata kerja tak transitif dibahagikan kepada dua subgolongan iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap dan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap.

Kata kerja tak transitif berpelengkap bermaksud kata kerja yang memerlukan pelengkap untuk menyempurnakan frasa ayat. Unsur-unsur yang menjadi pelengkap ini boleh terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan frasa sendi nama. Contoh;

i. Rumahnya berlantaikan tanah. (pelengkap kata nama)
ii. Burung-burung bersiul riang. (pelengkap kata adjektif)
iii. Ayah beransur pulih. (pelengkap kata adjektif)
iv. Para perwakilan akan melawat ke Langkawi. ( Frasa sendi nama)

Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya. Kata kerja ini boleh berdiri sendiri sebagai predikat ayat. Contohnya;

i. Ramai orang yang datang.
ii. Mereka selalu berbincang.
iii. Dia suka bergurau.
iv. Tina nak lari.
v. Layang-layang tu boleh terbang.
Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap ini juga boleh diikuti oleh unsur keterangan selepasnya yang berfungsi sebagai maklumat tambahan atau keterangan (frasa yang bergaris dalam ayat). Contohnya;

i. Ramai orang yang datang ke surau itu.
ii. Mereka selalu berehat di bilik tamu.
iii. Dia suka bergaduh dengan kawan-kawannya.


Bab 4: Kesimpulan
Berdasarkan kepada dapatan kajian di atas,cerpen ‘Tina’ karya Aminhad dalam Antologi Seuntai Kata Untuk Dirasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah menggunakan kesemua jenis penggolongan kata kerja iaitu kata kerja transitif aktif dan pasif juga kata kerja tak transitif berpelengkap dan tak berpelengkap. Kajian dibuat bermula dari perkataan yang pertama hingga perkataan ke-350 sahaja dan secara kesimpulan dapat dibuat terhadap kajian penggunaan kata kerja dalam cerpen tersebut ialah penulisnya iaitu Saudara Aminhad lebih banyak menggunakan jenis kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dalam karya ini. Antara faktor beliau lebih selesa menggunakan kata kerja jenis tersebut ialah peredaran masa yang berlaku dan karya ini adalah merupakan karya moden. Jika karya klasik, kemungkinan bentuk kata kerja transitif pasif digunakan secara dominan. Hasil dapatan kajian dapat dilihat dalam jadual yang disediakan. Kaedah jadual serta gundalan telah digunakan bagi memudahkan saya untuk memperoleh jumlah kata kerja yang terdapat dalam cerpen ‘Tina’ ini dengan kadar seberapa banyak yang mungkin.
Justeru, melalui tugasan ini para pelajar telah memperoleh ilmu yang sangat berguna terutama mengenai penggunaan kata kerja.









Rujukan
Abdullah Hassan, (2007). Linguistik Am (Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu), Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Hajah Noresah bt. Baharom, et al., (2007). Kamus Dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarudin Hj. Husin et al., (1997). Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Liaw Yock Fang dan Abdullah Hassan, (1997). Nahu Melayu Moden, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar)

Nik Safiah Karim et al., (2008). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin. (2004). Bahasa Melayu STPM Edisi Kedua, Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar Sdn. Bhd.)

Prof. Dr. Asmah Hj. Omar, (1982). Nahu Melayu Mutakhir, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam, (1985). Kajian Bahasa (untuk pelatih Maktab Perguruan), Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (kini Oxford Fajar Sdn. Bhd.)

Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Bahasa Melayu 1 (Siri Pendidikan Guru), Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd Nor, (2006). Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Kerja Kursus BMK PPISMP Sem.3 (Teks Pidato)

Menurut kajian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ke atas 1560 buah sekolah menengah harian pada tahun 2005, mendapati bahawa sejumlah 459 daripadanya terdedah kepada budaya dan pengaruh gengsterisme. Itu kajian empat tahun dahulu, bagaimana pula sekarang? Semakin berkurang atau sebaliknya? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Sekalung apresiasi buat saudara pemudah agenda, barisan respektatif kehakiman yang arif lagi bijaksana, seterusnya hadirin warga dewan berkarisma pencetus evolusi minda. Assalamulaikum dan salam satu Malaysia.
Sidang warga dewan penuh wawasan penjana modal insan,
Amat mengejutkan apabila kita didedahkan dengan maklumat yang dilaporkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang menyebut kira-kira 10, 000 individu dikesan terbabit dengan kegiatan gengsterisme di Selangor. Gengterisme menurut Kamus Dewan edisi keempat halaman 458 bermaksud kegiatan gengster ataupun masalah gejala samseng. Menurut Dr. Amir Mohd. Salleh (1999) mengatakan bahawa, “Gengsterisme di sekolah bermaksud kewujudan kumpulan gengster yang melibatkan para pelajar sekolah harian sebagai ahlinya sama ada sebagai ahli aktif atau penyokong sesuatu kumpulan dalam melakukan salah laku dan pelanggaran disiplin dan undang-undang.” Menurut sumber Unit Penyelidikan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Oktober 1999, mengatakan terdapat 13 jenis salah laku jenayah yang sering dikaitkan dengan gejala gengsterisme mengikut respon Pengetua dan Guru antaranya ialah melawan guru, peras ugut, buli, salah guna dadah, membawa senjata, mencabul kehormatan, mengancam murid dan guru dan sebagainya. Maka pada hari ini saya terpanggil untuk berkongsi idea bersama anda semua, warga pendengar yang setia mengenai “usaha-usaha membendung gejala gengterisme di sekolah”.

Sidang warga dewan pembina jati diri bangsa,
Tindakan sekumpulan pelajar membakar bilik guru disiplin Sekolah Menengah Seksyen 19, Shah Alam pada awal Jun 2000 membuktikan betapa kegiatan gengsterisme di kalangan pelajar sekolah sudah sampai ke peringkat yang cukup serius. Malah adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa perbuatan membakar sekolah termasuk percubaan membakar rumah seorang guru di Kota Tinggi, Johor pada 21 Mei 2000 merupakan kegiatan gengsterisme yang melampau yang melibatkan pelajar sekolah. Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) turut memaparkan bahawa pembabitan pelajar dalam kes jenayah cukup merisaukan iaitu sebanyak 1, 996 pelajar ditahan kerana terlibat dalam 881 kes jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2003, ianya bukan sejumlah angka yang kecil. Maka, dalam usaha membendung gejala kronik ini saya bawakan kepada anda empat indikator penting untuk dibicarakan. Lapang-lapangkan minda dan hanyatilah kupasan idea kurniaan Yang Maha Pencipta.
Gagasan idea saya yang pertama, bernaung di bawah lembayung kata kunci “kembalikan hak merotan demi kemaslahatan bersama”. Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Lembaga Disiplin Kementerian Pelajaran pada tanggal 17 Mac 2009 telah memutuskan untuk menguatkuasa kembali Peraturan-peraturan Disiplin Sekolah 1959, khususnya hukuman tradisi yang sering digunakan nenek moyang kita pada era dahulu untuk mendisiplinkan anak-anak iaitu hukuman rotan. Dalam melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar, Kementerian Pelajaran perlu memastikan ada panel yang menentukan syarat-syarat dan kaedah dalam merotan pelajar. Dalam erti kata lain hukuman rotan ini tidak dicemari dengan unsur marah dan dendam. Lebih baik sekiranya hukuman merotan mengikut syarat-syarat yang digariskan dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Janganlah kamu memukul di bahagian muka”. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan perbuatan Rasulullah s.a.w. ketika baginda memerintahkan orang ramai merejam Al-Ghamdiyah. Baginda mengambil batu-batu kecil sebesar batu kerikil dan merejamnya lalu baginda bersabda yang bermaksud, “Rejamlah dia dan elakkan daripada merejam bahagian mukanya”.
Selain itu, Islam juga mencegah daripada memukul di bahagian kepala, perut dan dada. Sesungguhnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pendidikan dalam Islam juga memberikan perhatian serius ke atas maudu’ hukuman sama ada hukuman yang berbentuk ‘maknawi’ yakni memberi nasihat dan menegur ataupun yang ‘maddi’ yakni hukuman sebat atau rotan. Hukuman merotan sememangnya perlu kerana terbukti pendekatan seperti nasihat dan sesi kaunseling masih tidak mampu menginsafkan pelajar tegar atau sering dipanggil “tidak makan saman” ini. Halangan utama yang menyukarkan pelaksanaan hukuman rotan ini tidak lain dan tidak bukan ialah golongan ibu bapa yang terlalu menyanyangi anak mereka. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa hukuman merotan ini bukan sekadar menghukum tetapi bermatlamat untuk mendidik dan mendisiplinkan para pelajar. Mereka harus meletakkan kepercayaan yang luhur kepada pihak sekolah untuk melaksanakan hukuman rotan ini sekiranya anak mereka melakukan pelanggaran disiplin seperti kegiatan gengsterisme ini. Hayatilah kata-kata Abraham Lincoln iaitu “Believing everybody is dangerous; believing nobody is very dangerous…”.

Sidang warga dewan yang bermisi lagi bervisi,
Menurut fakta terkini yang dipaparkan dalam akhbar Harian Metro pada 18 Jun 2009 menyatakan, 81 peratus terbabit gengsterisme disebabkan faktor keluarga. Maka gagasan idea saya yang kedua, berpaksikan idea “keluarga pembentuk akhlak mulia”. Mutakhir ini, gejala gengsterisme bukan lagi hanya melibatkan pelajar lelaki malah pelajar perempuan juga tegar menyepak dan memukul gurunya sendiri. Buktinya apabila laporan Akhbar Berita Harian pada tanggal 17 Oktober 2008 memaparkan betapa biadapnya pelajar perempuan di salah sebuah sekolah di Kangar tanpa rasa hormat dan taat tegar menendang gurunya. Hasil kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) mendapati kes salah laku jenayah di kalangan pelajar perempuan meningkat dalam tempoh tiga tahun iaitu 673 kes pada 2007 berbanding 523 kes pada 2006 dan 514 kes pada 2005.

Hakikatnya, pendidikan bermula daripada rumah dan ibu bapa perlu bijak memainkan peranan utama dalam mencorakkan perkembangan anak-anak mereka. Bak kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr. Fazilah Kamsah, “Segala-galanya bermula dari rumah”. Dari segi pembentukan sahsiah, ibu bapa adalah ‘role model’ yang terdekat dan terbaik untuk dicontohi anak-anak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, ibu bapa perlu mencerminkan peribadi yang mulia dan penuh hikmah agar menjadi teladan kepada anak-anak. Perlu diingatkan, mentarbiah anak-anak ibarat sebuah binaan rumah. Tanpa bahan dan elemen asas pembinaan yang baik dan berkualiti, rumah tidak lengkap atau mungkin juga tidak utuh. Maka didikan moral dan agama perlu disemai dalam kehidupan seharian mereka. Keimanan yang mantap dan kuat akan mencegah diri seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar sekali gus menghindari mereka dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti kumpulan samseng dan gengster di sekolah atau di mana-mana sahaja. Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Bahawa sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar” (Al-Ankabut: 45) adalah merupakan manifestasi didikan dan bimbingan yang mantap dari rumah. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, anak-anak perlu diasuh tegas sedari kecil. Istilah “bagai menatang minyak yang penuh” jangan disalah tafsir sehingga anak-anak terlalu dimanjakan. Kebebasan bukan cara menyatakan kasih-sayang malah adakala mengundang petaka.

Sidang warga dewan berilmu,
Pepatah Parsi ada menyebut ‘berfikir adalah sesuatu yang bijak, merancang adalah lebih bijak tetapi melakukan yang terbaik adalah yang paling bijak’. Maka, ayuh dengarkan idealogi saya yang ketiga, “muafakat membawa berkat”. Dalam usaha membendung gejala gengsterisme ini, kerjasama secara bersepadu dan holistik oleh ibu bapa, guru dan masyarakat seharusnya berterusan, bukan bermusim. Salah satu caranya ialah Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah dimantap dan diperkukuhkan. PIBG ditubuhkan selaras dengan Surat Pekeliling P.U (A) 146/1973. Objektif penubuhannya adalah sama-sama membantu kecemerlangan pelajar dan juga menjadi medium diskusi menyelesaikan masalah disiplin pelajar. Islam meletakkan elemen kerjasama dan muafakat dalam apa jua tindakan. Maka, konsep ini perlu ditekankan dan diperluas sehinggalah kepada kepimpinan nasional. Al-quran ada menyebut di dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud, “Bermusyawarahlah kamu dengan masyarakat dalam urusan itu”. Maka, PIBG harus bergerak aktif dalam merencana pelan tindakan yang lebih efektif dan agresif dalam membendung gejala gengsterisme ini.

Bukan lagi satu rahsia seperti yang diperkatakan oleh mantan Menteri Pendidikan iaitu Tan Sri Musa Muhammad bahawa ada guru besar atau pengetua yang enggan membuat laporan polis sekiranya berlaku kegiatan gengsterisme di sekolah atas sebab ingin menjaga nama baik dan kewibawaan pentadbiran. Maka peranan Yang Dipertua PIBG adalah utama supaya mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa. Koordinasi kerjasama yang erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat mampu membendung gejala gengsterisme yang semakin parah. Sandainya ianya dapat direalitikan, maka kes seperti kematian pelajar tingkatan empat SMK Sungai Besi, Mohd. Hadzrin Mohamad, kes kematian Muhammad Farid Ibrahim dari SMA Dato’ Klana Petra Maamor, Ampang dan kes buli sampai parah ke atas seorang pelajar SM Teknik Arau, Mohd. Firdaus Abd. Rahim mungkin takkan berulang buat sekian kalinya.

Sidang warga dewan berkarisma,
Kita juga pernah digemparkan dengan kes kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun membunuh rakannya. Juga kes di Selangor di mana seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipaksa menjadi pelacur dan dibawa ke Kedah untuk melakukan hubungan seks secara beramai-ramai. Tak tercapai akal tindakan mereka dan satu persoalan yang timbul dalam benak fikiran saya, dari manakah munculnya inspirasi ekstrem ini?
Maka, cetusan idea saya yang keempat bertahtakan mauduk bicara “peranan media massa membendung gejala gengsterisme”. Masyarakat sedia maklum, sesungguhnya media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak memberi pengaruh besar kepada perkembangan personaliti dan mentaliti anak-anak era globalisasi kini. Justeru, pihak media seharusnya bijak dalam memainkan peranannya untuk membantu secara tidak langsung usaha-usaha kerajaan dan pihak sekolah dalam membendung gejala gengsterisme yang dilihat bagai barah yang semakin membiak secara meluas dalam kalangan pelajar sekolah. Pihak media juga perlu menggunakan daya tarikan yang ada padanya dalam menyemai dan menyerap budaya positif kepada pelajar dan bukannya asyik memaparkan filem, drama atau iklan yang berbaur keganasan, perasaan dendam, kezaliman, keghairahan dan sebagainya yang membawa kesan negatif kepada perkembangan diri pelajar baik secara interpersonal mahupun intrapersonal.
Menurut Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Jun 2009, mengatakan aksi-aksi ganas sudah menjadi santapan harian golongan muda dan kanak-kanak sama ada dalam filem malah siri kartun yang menjadi kegemaran kanak-kanak pun turut menyelitkan aksi ganas. Pihak media perlu mempunyai tanggungjawab sosial. Jika pihak kerajaan begitu bersungguh-sungguh memerangi gejala ini tetapi media masih ghairah memaparkan tayangan-tayangan yang menjerumus kepada tindakan liar pelajar demi mencapai keuntungan semata-mata, maka sia-sia sahajalah usaha gigih kerajaan dan mereka yang berperikemanusiaan untuk melahirkan masyarakat yang bermoral dan beretika selaras dengan cabaran Wawasan 2020. Mantan Timbalan Perdana Menteri China, Li Lanqing dalam bukunya “Education for 1.3 Billion” ada mengatakan bahawa, ”cabaran guru dalam membentuk akhlak pelajar bukan sekadar berhadapan dengan pengaruh persekitaran, malah media massa turut mempunyai ‘aura’nya yang tersendiri ke arah pembentukan personaliti pelajar”. (Lanqing, 2005)

Sidang hadirin berminda kelas pertama,
Konklusinya, berdasarkan empat indikator yang telah saya bicarakan, maka ayuh kita sama-sama berganding bahu membendung gejala gengsterisme yang tidak membawa untung kepada kita semua dalam mengangkat martabat bangsa dan negara tercinta. Usah kita biarkan najis gengsterisme ini terus mengotorkan sistem pendidikan negara yang kini sedang memacu ke arah mencapai sistem pendidikan bertaraf antarabangsa. Saya tinggalkan anda dengan wasiat yang ditinggalkan Raja-raja Melayu semasa merdeka pada 31 Ogos 1957, “Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami supaya bersatu padu dan berpegang teguh kepada kesetiaan, selama mana mereka patuh, selama itulah akan damai dan sejahtera”.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum w.k.t.h.








RUJUKAN
Buku/ Majalah
Saharom Abd. Aziz, et. al., (2009). e@siswa edisi 28: Jun 2009, Selangor: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.
Saharom Abd. Aziz, et. al., (2009). e@siswa edisi 29: Julai 2009, Selangor: Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.
Srihanasham Noordin Asmar, (2007). PENDIDIK, Selangor: Widad Publication Sdn. Bhd.

Akhbar
Akhbar Berita Harian pada tarikh 17 Oktober 2008.
Akhbar Harian Metro pada tarikh 5 Mei 2008, 17 Mac, 18 Jun. 3 Ogos 2009.
Akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 16 Januari, 6 Mac, 4 Jun 2009.

Artikel Pilihan
Artikel Pilihan dari Perpustakaan Awam Alor Setar dan Perpustakaan Awam Merbok.

Laman Web
http://www.utusan.com/mengatasigengsterisme (diambil pada tarikh 7 Ogos 2009)
http://www.tripod.com/muda/ (diambil pada tarikh 5 Ogos 2009)

Kerja Kursus BM 1 (Kertas Kerja) PPISMP Sem.3

BAB 2:
PANDUAN PENYEDIAAN KERTAS KERJA PROJEK

2.0 Pengenalan

Dalam Mengurus Majlis dan Acara Rasmi (2008: 14) menyatakan bahawa kertas kerja sangat penting kerana ia adalah sebuah dokumen yang disediakan secara lengkap berkenaan acara yang sudah dirancang supaya dilaksanakan. Tujuan umum kertas kerja menurut Maimunah (1993), ialah mengeluarkan idea-idea dan data tertentu mengenai sesutu tajuk kepada sasaran tertentu; menambahkan pengetahuan tertentu kepada sasaran; dan menggalakkan perbincangan, diskusi serta penyelidikan susulan dalam bidang-bidang tertentu.

Draf kertas kerja perlulah diserahkan terlebih dahulu untuk disemak dengan teliti bagi menentukan cadangan-cadangan yang dikemukakan boleh diluluskan atau sebaliknya. Oleh itu, kertas kerja haruslah kemas dan sistematik kerana ia merupakan antara faktor atau instrumen penting sesebuah program atau aktiviti yang ingin dilaksanakan itu diluluskan.

Kertas kerja yang kemas bukan sahaja memudahkan pihak atasan mengetahui maklumat penting mengenai sesebuah program itu cuba diadakan tetapi menunjukkan kekredibilitian seseorang guru dalam membuat perancangan. Justeru, untuk menyediakan kertas kerja projek seharusnya mengikut panduan dan format yang sering digunakan yang kemas, bersistematik dan tanpak profesional.

2.1 Format/ Konsep Kertas Kerja Projek

Menurut Samsudin Wahab dalam bukunya Mengurus Majlis dan Acara Rasmi (2008: 15) dinyatakan bahawa tidak ada satu format khusus dalam menyediakan kertas kerja. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada objektif penyediaan kertas kerja tersebut. Ciri-ciri penulisan kertas kerja projek ini ada dinyatakan oleh beberapa orang penulis antaranya ialah Nuraini Yusoff, Samsudin Wahab dan Ab. Rahman Ab. Rashid. Ciri-ciri yang dinyatakan Nuraini Yusoff dalam Penulisan Berformat (1990: 100) dilihat sama dengan Ab. Rahman Ab. Rashid, et al., (2003: 309), Dalam Pengajian Melayu 1 yang menyatakan kertas kerja projek mengandungi ciri-ciri berikut:
2.1.1 Tajuk/ Nama acara

Tajuk sesuatu kertas kerja bergantung kepada tujuan kertas kerja dibuat dan hendaklah meliputi segala idea utama yang hendak disampaikan. Tajuk kertas kerja perlu ringkas, sebaik-baiknya tidak melebihi 15 patah perkataan.

2.1.2 Rasional

Rasional atau abstrak lebih kepada penyataan ringkas tujuan atau sebab sesuatu program atau acara itu cuba dilaksanakan. Rasional atau abstrak ini menurut Bahasa Melayu Komunikasi: Komunikasi Menulis (2003: 159) seelok-eloknya ditulis tidak melebihi 200 patah perkataan. Menurut Nuraini Yusoff dalam Penulisan Berformat (1990: 100) pula ia memadai antara 100 hingga 150 patah perkataan.

2.1.3 Objektif

Objektif ialah tujuan atau matlamat yang ingin dicapai dalam program yang cuba dianjurkan. Objektif lebih merupakan idea penulis kertas kerja dan menentukan daya penarik kepada audien untuk mendengar dan menilai isi kertas kerja tersebut.

Objektif ditulis dalam bentuk pecahan yang menggunakan nombor seperti 1.1.1, 1.1.2, 1.1.3 dan seterusnya.

2.1.4 Jangka Masa

Jangka masa ialah tempoh pelaksanaan sesebuah program itu diadakan. Ia bergantung kepada berapa banyak aktiviti yang ingin dilaksanakan. Ada program yang hanya memakan masa sehari dan ada juga sampai seminggu dan sebulan. Contohnya, ‘Sambutan Bulan Kemerdekaan’ yang biasanya akan berlangsung selama sebulan.



2.1.5 Kumpulan sasaran

Kumpulan sasaran merujuk kepada mereka yang difikirkan sesuai menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dirancang. Jika di sekolah sekalipun, tidak semua pelajar terlibat dalam sesebuah program atau acara yang dilangsungkan di sana. Kadang kala, ianya hanya melibatkan pelajar tahap satu dan adakalanya hanya melibatkan pelajar tahap dua. Jika di universiti atau pusat-pusat pengajian tinggi lain, kumpulan sasaran sesuatu program mungkin mengikut kesesuaian kursus. Contohnya, ‘Pertandingan reka cipta’ mungkin para pesertanya dikhususkan kepada pelajar jurusan seni reka bentuk. Namun, program yang berbentuk ceramah dan forum mungkin kumpulan sasaran ialah semua pelajar.

2.1.6 Andaian-andaian halangan yang mungkin timbul semasa membuat kajian / projek.

Andaian-andaian ini harus dinyatakan supaya pihak terbabit dapat membantu dan memahami situasi tersebut apabila ianya benar-benar terjadi. Sebagai contoh, mikrofon tidak berfungsi, sistem audio terganggu dan sebagainya. Justeru, pihak berkenaan pastinya dapat memberikan saranan dan langkah proaktif yang dapat membantu melancarkan perjalanan program.

2.1.7 Sumber Kewangan

Perihal kewangan sememangnya sangat penting dan perlu dinyatakan dengan sejelas-jelasnya oleh penulis. Kegagalan dalam mendapatkan kelulusan pelaksanaan sesebuah program selalunya disebabkan oleh faktor kewangan. Justeru, anggaran kos perbelanjaan terhadap sesebuah program harus relevan. Sumber kewangan, jika di sekolah biasanya daripada koperasi sekolah dan bendahari PIBG. Di IPT pula, sumber kewangan biasanya daripada stor utama institut, peruntukan yang sedia ada, tajaan daripada agensi tertentu dan lain-lain.



2.1.8 Penubuhan Jawatankuasa

Setiap program yang dilaksanakan semestinya harus mempunyai struktur organisasi pelaksana yang lengkap. Ahli jawatankuasa adalah orang yang telah dipertanggungjawabkan terhadap sesuatu tugas yang telah ditetapkan. Biasanya ia akan diketuai oleh penasihat yang terdiri daripada orang atasan sesebuah institusi seperti Guru Besar, Pengetua, Pengarah dan sebagainya.

2.1.9 Menentukan jadual tugasan

Penentuan jadual tugasan dilakukan supaya tindakan atau perjalanan program mengikut masa dan tarikh yang telah ditetapkan sebagai garis panduan untuk dirujuk oleh ahli jawatankuasa. Ia juga bertujuan supaya proses-proses seperti penyediaan tempat, permohonan menggunakan dewan, alatan dan sebagainya telah dilakukan mengikut waktu yang telah ditetapkan demi kelancaran dan kesempurnaan perjalanan dalam usaha menganjurkan program, majlis atau acara rasmi lain.

2.1.10 Pelaksanaan

Pelaksanaan atau juga dikenali sebagai modus operandi ialah perihal mengenai kaedah atau tatacara pelaksanaan sesebuah program yang ibgin dianjurkan. Ianya meliputi dari aspek pelaksanaan dalam pengurusan majlis, pengacaraan, kehakiman (jika program itu berbentuk pertandingan) dan sebagainya.










2.2 PANDUAN PENYEDIAAN KERTAS KERJA PROJEK
Mengikut Ab. Rahman Ab. Rashid, et al., dalam Pengajian Melayu 1, sebelum kertas kerja ditulis, penulis perlu melakukan tindakan-tindakan berikut:

2.2.1 Mengenal pasti audien

Dalam proses menghasilkan kertas kerja, penulis harus mengkaji kumpulan sasaran atau audien yang merupakan khalayak langsung dan serta-merta terlibat dalam program yang cuba dilaksanakan. Sasaran juga terdiri daripada pembaca umum kertas kerja tertentu. Justeru, pertimbangan yang sewajarnya perlu diambil kira dan diteliti terhadap kumpulan sasaran tersebut sebelum menulis sesebuah kertas kerja.

2.2.2 Mengenal pasti bentuk penulisan
Penulisan kertas kerja terdapat dalam beberapa bentuk, iaitu:

i. Kertas kerja bagi tujuan memberi panduan menerokai bidang-bidang pengetahuan baharu merupakan kertas kerja berbentuk tinjauan.
ii. Kertas kerja bagi tujuan memberi penerangan terperinci tentang sesuatu merupakan kertas kerja berbentuk deskriptif.
iii. Kertas kerja bagi tujuan memberi penjelasan terhadap sesuatu kejadian yang berlaku adalah kertas kerja yang berbentuk penjelasan.
iv. Kertas kerja bagi tujuan mencadangkan tindakan-tindakan tertentu adalah berbentuk perumusan.

2.2.3 Mengenal pasti bahasa yang digunakan

Dalam menyediakan sesebuah kertas kerja, aspek tatabahasa dan gaya penulisan harus dipatuhi oleh penulis. Penulis perlu mengikut gaya penulisan kertas kerja yang meliputi aspek-aspek berikut:




i. Keseragaman
Keseragaman dari segi ejaan, tanda baca dan cara menulis petikan. Dalam menyediakan kertas kerja yang memenuhi aspek ini, penulis harus sentiasa merujuk kamus.

ii. Keboleh bacaan
Iaitu memilih perkataan, istilah, laras dan wacana yang sesuai dengan latar belakang pengetahuan dan pendidikan audien.

iii. Memenuhi kehendak pembaca
Penulisan kertas kerja seharusnya menggunakan bahasa yang bersahaja tetapi jelas maksudnya, tidak terlalu meleret-leret dan berbunga-bunga.

2.2.4 Mengenal pasti teknik penulisan

Kertas kerja hendaklah ditaip langkau dua baris. Petikan-petikan yang melebihi dua baris hendaklah diketengahkan dan ditaipkan dengan langkau satu baris. Panjang setiap kertas kerja seelok-eloknya tidak melebihi 4000 patah perkataan.

2.2.5 Mengenal pasti bahagian-bahagian kertas kerja

Bahagian-bahagian umum dan lazim kertas kerja sebenarnya telah dinyatakan di atas dalam konsep/ format kertas kerja (Rujuk nota 2.1). Bahagian utama merupakan bahagian yang meliputi aspek-aspek penting dalam kertas kerja yang dipecah-pecahkan kepada bahagian-bahagian kecil.

Maklumat tambahan yang ingin dinyatakan ialah kertas kerja mempunyai bahagian penutup yang memuatkan rumusan atau saranan. Bahagian lampiran meliputi rujukan (mengikut kesesuaian), gambar rajah, glosari dan sebagainya.













BAB 3:
KERTAS KERJA PROJEK BAHASA DI SEBUAH SEKOLAH















KERTAS KERJA
PERTANDINGAN SKETSA: SEJARAH MEMBINA JATI DIRI BANGSA
SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN TAHUN 2009
SEKOLAH KEBANGSAAN HAJI OMAR TAHIR, 08100 BEDONG, KEDAH.

1.0 Pengenalan
Dalam menghadapi era ledakan maklumat dan informasi ini, pelbagai gejala melanda dan menyelusur masuk dalam jiwa dan sanubari masyarakat kita khususnya golongan remaja dan kanak-kanak yang meningkat dewasa. Dalam kemewahan dan kesenangan hidup yang dicapai, membuatkan mereka bertambah lupa kepada sejarah keperitan negara sebelum merdeka. Mereka celik tanpa melihat penduduk negara ini hidup dalam ketakutan gara-gara keganasan dan kekejaman komunis, pondok-pondok kecil yang menjadi tempat berteduh dibakar tanpa rasa belas, kanak-kanak perempuan dan golongan wanita menjadi mangsa pemuas nafsu tanpa rela dan pelbagai lagi tragedi menyayat hati.

Justeru, atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan berintegriti, Panitia Bahasa Melayu sekolah ini merancang untuk menganjurkan sebuah program yang bertajuk “Pertandingan Sketsa: Sejarah Membina Jati Diri Bangsa” yang bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara yang ke-52 supaya para pelajar sedar akan kepentingan dan tanggungjawab mereka sebagai pewaris negara dalam mempertahan dan mengekalkan kemerdekaan negara yang kini sudah berusia melebihi setengah abad lamanya.

Kebebasan dan keamanan yang dimiliki boleh dirampas oleh kuasa asing sekiranya masyarakat negara ini alpa dengan budaya hedonisme yang dibawa Barat. Oleh itu, program pertandingan sketsa ini haruslah direalisasikan demi kepentingan dan kemaslahatan bersama.





2.0 Rasional
Tujuan utama penyediaan kertas kerja ini adalah diharapkan dengan penganjuran program ini dapat menghidup dan menyemarak semangat patriotisme dalam diri masyarakat khususnya golongan pelajar yang dilihat penghayatnnya semakin hari semakin luntur. Pertandingan sketsa yang bertemakan “Sejarah membina jati diri bangsa” ini dilihat begitu relevan dengan keperluan semasa yang semakin mendesak supaya institusi pendidikan berperanan lebih luas. Ia dilaksanakan selama sehari iaitu cadangan tarikh pada 20 Ogos 2009 dan bertempat di Dewan Besar S.K.H.O.T. Penyertaan terhad kepada murid tahap dua (7 orang satu kumpulan).

3.0 Nama Program
“Pertandingan Sketsa: Sejarah Membina Jati Diri Bangsa”

4.0 Tema
“Sejarah Membina Jati Diri Bangsa”

5.0 Objektif Program
5.1 Menimbulkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan mempertahankan kemerdekaan melalui unsur kesenian (seni persembahan).
5.2 Memperkembangkan potensi dan bakat pelajar serta memberi keyakinan diri kepada pelajar dalam berhadapan dengan orang ramai.
5.3 Mengisi masa pelajar dengan aktiviti yang menarik dan bermanfaat bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang Ke-52.
5.4 menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar melalui mesej yang disampaikan dalam sketsa yang dipersembahkan.

6.0 Tarikh dan waktu cadangan
Tarikh: 20 Ogos 2009
Masa : 7.45 pagi hingga 12.30 tengah hari

7.0 Anjuran
Panitia Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Haji Omar Tahir.
8.0 Kumpulan Sasaran
Murid Tahap Dua (Tahun 4, 5 dan 6) S.K.H.O.T

9.0 Cadangan program-tempat
9.1 Dewan Besar
S.K. Haji Omar Tahir, 08100 Bedong, Kedah.
9.2 Majlis Jamuan di Kantin
S.K. Haji Omar Tahir, 08100 Bedong, Kedah.

10.0 Ahli Jawatankuasa
Rujuk Lampiran A

11.0 Tentatif Program
Rujuk Lampiran B

12.0 Sumber Kewangan
Rujuk Lampiran C

13.0 Senarai Peralatan yang diperlukan
Rujuk Lampiran D

14.0 Penentuan Jadual Tugasan

Tarikh Perkara Tindakan
20.07.2009 Mesyuarat pelantikan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan Sketsa: Sejarah Membina Jati Diri Bangsa. Semua ahli Panitia Bahasa Melayu SKHOT
01.08.2009 Proses penyediaan kertas kerja. Setiausaha Program
07.08.2009 Proses penyediaan tempat dan peralatan serta publisiti. Semua AJK Pelaksana
20.08.2009 Hari Pertandingan. Semua AJK Pelaksana


15.0 Modus Operandi
15.1 Setiap ahli jawatankuasa telah diberi tugasan seperti yang dilampirkan pada Lampiran A dan masing-masing memahami portfolio tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan.
15.2 Pertandingan sketsa ini terhad kepada pelajar tahap dua sahaja.
15.3 Pertandingan diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi 1 dan sesi 2 dan diadakan di dewan besar sekolah.
15.4 Persembahan dihadkan selama 8 minit sahaja.
15.5 Pemenang dinilai kepada tiga aspek iaitu kreativiti persembahan, bahasa dan isi. Keputusan hakim adalah muktamad.
15.6 Berikut adalah lakaran kedudukan pentas dan dewan semasa hari pertandingan.


















Petunjuk:




16.0 Penutup
Diharapkan agar pihak tuan dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya dan meluluskan agenda murni yang telah Panitia Bahasa Melayu sekolah ini rancangkan agar dapat melahirkan modal insan yang mampu membawa negara ke peringkat global. Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.

“BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA”

Disediakan oleh,



(ABDUL SHARIL HAZRI BIN NORDIN)
Setiausaha,
Pertandingan Sketsa,
Sempena Bulan Kemerdekaan 2009,
S.K. Haji Omar Tahir, Bedong, Kedah.

Kerja Kursus BM 2 (Keutuhan Wacana) PPISMP Sem.3

BAB 2: KEUTUHAN WACANA

2.1 Konsep keutuhan wacana

Dalam hierarki bahasa, wacana terletak pada tingkat tertinggi sekali, iaitu hadir selepas tingkat ayat.

Gambar rajah 1: Hierarki bahasa

Dalam sesebuah wacana, perkaitan antara unit-unit bahasa atau unsur-unsur seperti kata, frasa, klausa, dan ayat disusun dan dijalin dengan sempurna sehingga memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berkesinambungan dapat melahirkan kesatuan fikiran yang utuh. Kesatuan yang utuh itulah yang menunjukkan ianya sebuah wacana yang baik.

Wacana yang baik dikenali sebagai keutuhan wacana. Keutuhan wacana terhasil apabila wujudnya susunan yang teratur dan berurutan dalam sesuatu wacana. Keutuhan wacana penting bagi menentukan sesuatu satuan itu dianggap sebagai wacana atau hanya merupakan kumpulan ayat yang tidak teratur. (Raminah Hj. Sabran et. al., (1987). Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, hal. 221)

Keutuhan wacana boleh dinilai dengan melihat wujudnya hubungan-hubungan dari aspek semantik, leksikal, gramatikal atau tatabahasa dan fonologis.


2.2 Ciri-ciri keutuhan wacana

Dalam Pengajian Melayu 2: Ketrampilan Bahasa oleh Kamaruddin Hj. Husin dan Siti Hajar Abd. Aziz, (1997) dinyatakan bahawa suatu wacana yang utuh secara umumnya mempunyai empat ciri iaitu:
1. Hubungan dari segi semantik
2. Hubungan dari segi fonologi
3. Hubungan dari segi leksikal
4. Hubungan dari segi tatabahasa atau gramatikal

2.2.1 Hubungan dari segi semantik
Keutuhan wacana juga dapat dilihat dari aspek hubungan semantik iaitu berdasarkan kepada kesepaduan makna yang wujud dalam sesuatu wacana. Kaitan dari aspek ini boleh dilihat antara bahagian-bahagian wacana dan dari segi konteks atau latar wacana. Hubungan dari segi semantik mengikut Winifred Crombie (1985), menyatakan secara umumnya terdapat dua bentuk hubungan semantik iaitu:
a. Hubungan semantik umum
b. Hubungan semantik interaktif

(Sumber: Kamaruddin Hj. Husin, et. al., (1997). Pengajian Melayu 2: Ketrampilan Bahasa, hal. 79)

2.2.1.1 Hubungan semantik umum
Hubungan semantik umum juga dikenali sebagai kaitan semantik antara bahagian-bahagian wacana yang merujuk kepada penggunaan bentuk-bentuk pernyataan yang memperlihatkan hubungan dalam bentuk berikut:
a. Hubungan yang berkaitan sebab dan akibat
Hubungan sebab dan akibat. Contohnya:
i. Siti tidak bersungguh-sungguh semasa belajar.(sebab) Dia gagal dalam peperiksaan.(akibat)

Hubungan sebab dan tujuan. Contohnya:
i. Anwari belajar bersungguh-sungguh.(sebab) Dia ingin berjaya dalam pelajaran.(tujuan)
ii. Guru itu rajin mengajar. Dia mengharapkan semua muridnya lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Hubungan sebab dan hasil. Contohnya:
i. Adli seorang usahawan yang gigih.(sebab) Dia memiliki sebuah syarikat keselamatan terbesar di Brunei.(hasil)
ii. Ibrahim sangat rajin bekerja. Dia dinaikkan pangkat.

Hubungan alasan dan kesan. Contohnya:
i. Oleh kerana dia hantar tugasan lambat.(alasan) Saya dimarahi guru.(kesan)
ii. Gara-gara Ibrahim jalan lambat. Saya tertinggal bas untuk pulang.

Hubungan syarat dan hasil. Contohnya:
i. Jika anda bekerja keras. Anda akan berjaya dalam perniagaan nanti.

Hubungan sebab dan kesan. Contohnya:
i. Pintu rumah Razi tidak dikunci semalaman. Beberapa barang berharga telah dicuri.

b. Hubungan pasangan
Hubungan pasangan boleh dilihat berdasarkan dua bentuk, iaitu:
a) Perbezaan
Contoh: Semua pelajar menangis kecuali Intan.

b) Perbandingan
Contoh: Kalau ayah pun berperangai buruk, apatah lagi si anak.

c. Hubungan tempoh masa
Hubungan tempoh masa dalam ayat boleh dilihat berdasarkan dua jenis hubungan yang menunjukkan perkaitan dengan tempoh masa iaitu:

i. Mengikut turutan kronologi
Contoh: Syafik akan melawat adiknya yang sakit di hospital, kemudian ke rumah abangnya, dan selepas itu bertolak ke Thailand.

ii. Pertindanan masa
Contoh: Ketika dia bertolak meninggalkan Merbok, hujan turun.

d. Hubungan kebenaran kesahihan
Bermaksud perkaitan yang menggambarkan pertentangan fakta. Berdasarkan Pengajian Melayu 2: Ketrampilan Bahasa oleh Kamaruddin Hj. Husin dan Siti Hajar Abd. Aziz, (1997) dinyatakan bahawa terdapat empat bentuk pernyataan yang dikaitkan dengan hubungan ini iaitu:
a. Pernyataan pengesahan.
Contoh: Ali perlu meneruskan pengajiannya, saya percaya dia boleh berjaya.
b. Pernyataan penafian
Contoh: Dia memang lemah, itu semua tidak benar sama sekali.
c. Penafian pembetulan
Contoh: Dia bukannya lemah. Dia cuma dia tidak sihat ketika itu.
d. Luar jangkaan
Contoh: Mereka bercadang hendak menyerang tetapi sebaliknya terpaksa bertahan.

e. Hubungan ikatan
Hubungan ini menunjukkan perkaitan makna antara ayat-ayat. Ia terdapat dalam beberapa bentuk, iaitu:
1. Berpasangan. Contoh: Dia memakai seluar merah dan baju biru.
2. Pasangan bertentangan. Contoh: Dia cuba mengingat kembali, tetapi dia seorang pelupa.
3. Pengecualian penyataan. Contoh: Kemiskinan menyebabkan manusia tidak bermoral. Dia telah mula mencari pekerjaan untuk menampung belanja.

f. Hubungan prafrasa
Merujuk kepada bentuk pernyataan yang menyatakan semula kenyataan awal. Contoh:
Dia bukan seorang yang baik. Dia jahat.
Bakar memulakan serangan. Dia mula melawan.

g. Hubungan penekanan
Ia boleh dilihat berdasarkan bentuk-bentuk berikut:
a. Penekanan istilah. Contoh: Inilah pahlawan yang dibunuhnya.
b. Penekanan predikat. Contoh: Dia menyesali atas apa yang telah berlaku.

h. Hubungan suasana dan perlakuan
Menunjukkan perkaitan makna dalam ayat yang merujuk kepada tempat. Contoh berkenaan dengan hubungan ini adalah seperti berikut:
a. Lokasi perlakuan. Contoh: Arif dikurung di dalam biliknya.
b. Arah perlakuan. Contoh: Dia menghalau lembu itu ke padang.
c. Keadaan perlakuan. Contoh: Dia merawat pesakit itu dengan baik.

2.2.1.2 Hubungan semantik interaktif
Hubungan semantik interaktif banyak berfungsi dalam wacana lisan. Ia bertujuan bagi menimbulkan respon atau tindak balas daripada pendengar. Menurut Winfred Crombie (1985) lagi, terdapat tiga bentuk asas aplikasi semantik dalam pertuturan atau perbualan iaitu:
a. Inisiatif : Contoh; Ke mana awak pergi?
b. Respon : Contoh; Ke sekolah.
c. Susulan : Contoh; Baguslah.

Hubungan semantik interaktif juga boleh dilihat dalam bentuk ayat-ayat atau ujaran. Contoh:
a. Penyoalan : Contoh; Di manakah buku saya?
b. Arahan : Contoh; Nyah kau dari sini!
c. Persetujuan : Contoh; Ya, baiklah.
d. Pemberitahuan : Contoh; Buku Sejarah ada di atas meja.
Dalam Pengajian Melayu 1, ditulis oleh Ab. Rahman Ab. Rashid, et. al., (2003) dan juga dalam Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan oleh Raminah Hj. Sabran, et. al., (1987) ada menyatakan ciri-ciri keutuhan wacana dari segi konteks atau latar wacana, ia dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu:

a. Laras bahasa. Misalnya:
Laras bahasa dalam iklan. “Cepat, cepat! Jangan lambat! Jualan pengahabisan stok”. (Walaupun ayat-ayat yang diungkapkan terputus-putus, tetapi kita masih dapat memahaminya. Oleh demikian, ia masih dianggap sebagai wacana.)

b. Kesepaduan tajuk. Misalnya:
Muka Aishah semakin berseri-seri. Dia kini gembira dan tenang. Perubahannya sungguh di luar dugaan. (Orang yang dimaksudkan dahulunya sering dalam keadaan muram dan kesedihan.)

c. Hubungan sosial antara penutur dengan pendengar. Misalnya:
Ali : Dah siap?
Abu : Belum. Dakwat habis. (Kedua-dua orang penutur memahami apa yang dimaksudkan, walaupun orang lain mungkin tidak memahaminya.)

2.2.2 Hubungan dari segi fonologi
Hubungan dari aspek fonologi dapat dilihat melalui hentian atau kesenyapan suara, intonasi, tinggi rendah tekanan suara dan nada suara. Sebagai contoh:

1. Abang Ali sudah makan nasi.
(Ayat ini mengandungi ketaksaan makna, bergantung kepada hentian atau kesenyapan suara yang berlaku. Sekiranya kesenyapan suara berlaku selepas perkataan ‘abang’, maka ayat ini membawa maksud ‘Ali’ yang sudah makan nasi. Tetapi, jika kesenyapan suara berhenti selepas perkataan ‘Ali’, maka ayat ini bermaksud ‘abang Ali’ yang sudah makan nasi.)

2. Begitu juga halnya dengan intonasi dan nada suara yang berbeza. Misalnya perkataan ‘makan’. Jika ia diungkapkan dengan nada suara yang keras dan intonasi yang tinggi di akhir kata, ia akan menjadi ayat paksaan, arahan atau suruhan yang tidak boleh ditentang ataupun ia juga boleh menjadi ayat soal, “makan?” Tetapi, jika ianya disebut dengan nada yang lembut, ia akan berubah menjadi ayat silaan, ajakan atau pelawaan yang ikhlas.

2.2.3 Hubungan dari aspek leksikal
Hubungan ini dapat dilihat dari aspek wujudnya pertalian antara perkataan dalam sesuatu wacana. Hubungan leksikal dalam wacana tercapai melalui penggunaan kosa kata yang serasi dan sesuai. Terdapat beberapa cara memperoleh hubungan leksikal. Antaranya ialah:
1) Mengulang kata yang sama (Pengulangan).
“Semalam dia menelaah pelajaran. Hari ini dia menelaah lagi. Tampaknya dia memang seorang yang rajin menelaah.”

2) Menggunakan sinonim atau ekuivalensi leksikal.
“Sindrom skim cepat kaya semakin menular dalam kalangan masyarakat kini. Gejala ini sungguh membimbangkan.”

3) Menggunakan antonim.
“Hidup segan, mati tak mahu.”

4) Menggunakan hiponim.
“Terdapat pelbagai jenis baju wanita di butik itu antaranya baju kebaya, kurung, kebaya nyonya, sari, jubah dan cheongsam.”

5) Menggunakan kolokasi (hubungan kedudukan).
“Pencemaran sungai semakin berleluasa. Hal ini telah menyebabkan hidupan akuatik semakin pupus dan hilang tempat tinggal.”

6) Memanfaatkan unsur bersambut.
“Guru mengemukakan soalan. Pelajar memberikan jawapan.”
7. Pembuka dan penutup wacana.
Contoh diambil daripada buku Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan iaitu alkisah, sebermula, maka dengan hormatnya (dalam karya klasik), dengan bangga, dukacita dan juga kata-kata seperti sekalian, wasalam, hormat dari kami dan sebagainya.

2.2.4 Hubungan dari aspek tatabahasa atau gramatikal
Keutuhan wacana seharusnya memperlihatkan hubungan berdasarkan binaan tatabahasanya. Michael McCarthy (1991), menyatakan terdapat tiga faktor yang mempengaruhi pertautan tatabahasa dalam sesebuah wacana yang utuh, iaitu:
i. Kata rujukan
Ianya boleh disamakan dengan kata ganti nama dalam bahasa Melayu kerana fungsinya yang menjadi rujukan dalam pembinaan sesebuah wacana. Penggunaan kata ini akan menyebabkan makna yang cuba dimaksudkan lebih tepat dan menjadikan wacana itu sendiri lebih rapi dan utuh. Contohnya:
Pengetua telah keluar dari biliknya. Dia nampak begitu cemas. Di luar, beberapa orang murid sedia menunggunya. Mereka bertiga semuanya.

ii. Peleburan atau pelenyapan (elipsis) dan penggantian
Merupakan satu konsep apabila perkataan yang sama tidak diulang dalam ayat yang sama walhal biasanya ia akan diulang. Proses ini akan menjadikan sesebuah wacana yang dipersembahkan itu lebih utuh dan jelas. Contohnya adalah seperti berikut:
1. Individu A: Nampaknya saudara menyokong semua pendapatnya. Ini bererti saudara telah menyebelahi pihaknya.
Individu B: Memang. (Sepatutnya: Memang, saya telah menyebelahi pihaknya.)
2. Kanak-kanak mengangkat kotak kecil, dewasa mengangkat yang besar. (Perkataan ‘kotak’ tidak diulang dalam ayat itu, tetapi masih boleh difahami)
3. Ali suka kereta Proton Saga, adiknya suka Perodua Kancil. (Perkataan kereta tidak diulang dalam ayat)
iii. Kata penghubung
Kata penghubung yang digunakan dapat memperlihatkan pertalian dan pertautan antara ayat-ayat atau perenggan-perenggan dalam wacana dan menjadikan wacana tersebut bermakna dan utuh. Michael McCarthy (1991) telah menggariskan tiga fungsi kata penghubung iaitu:

1. Fungsi penghuraian
Fungsi penghuraian dalam bahasa Melayu boleh dibuat dengan menggunakan perkataan-perkataan seperti seterusnya, pada sudut yang lain, selain itu, sebaliknya dan sebagainya. Contoh:
Dia bukan malas, sebaliknya dia terpaksa begitu untuk menyelamatkan diri.

2. Fungsi pengembangan
Ianya sering kali digunakan bagi mengembangkan idea. Contoh perkataan ialah seperti, dan, tetapi, oleh itu, sebab dan sebagainya. Contoh ayat adalah seperti berikut:
a) Dia tidak hadir kerana hujan
b) Kereta itu sudah lama, tetapi enjinnya masih baik.

3. Fungsi penambahan
Ianya sering digunakan bagi menyatakan masa atau kejadian. Contoh perkataan ialah kemudian, berikutnya, sebelum, selepas, pada masa, dalam hal itu, dan sebagainya. Contoh:
a) Sebelum mereka datang semua tetamu telah pulang.
b) Mereka datang, kemudian cuba mencari ayah.